Shahelmey, Andi tidak akan dicalonkan semula – UMNO Sabah

KOTA KINABALU: UMNO Sabah tidak akan mencalonkan semula ADUN Tanjung Keramat Datuk Shahelmey Yahya dan ADUN Tanjung Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Menurut The Star perkara itu dimaklumkan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Shahelmey merupakan Timbalan Ketua Menteri III, manakala Andi adalah Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri. Kedua-dua mereka menentang keputusan UMNO menarik balik sokongan terhadap GRS pada 2023 dan memilih untuk terus menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Dalam pada itu Bung Moktar juga dilaporkan berkata UMNO Sabah tidak peduli sama ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu bertanding secara solo atau bergabung dengan sesiapa pada PRN nanti.

Beliau berkata, bagi pihak UMNO, ramai pemimpin GRS tidak boleh dipercayai dan telah melanggar perjanjian yang telah dimeterai.

Ketika ditanya mengenai hala tuju GRS untuk menghadapi PRN Bung Moktar berkata sekiranya gabungan itu sudah membuat keputusan, maka mereka sepatutnya menyatakan sahaja perkara itu tanpa berdolak-dalik.

“Bukan susah sangat.

“Saya dah cakap banyak kali, saya tak percaya dan tak yakin dengan GRS,” katanya sambil menambah bahawa pemimpin yang melompat dari satu parti ke parti lain adalah pengkhianat yang hanya memikirkan kepentingan diri, dan akhirnya akan mengkhianati rakyat juga.

“Jadi saya tak peduli tentang GRS ini,” tegas beliau pada Isnin.

Mengenai calon pula, Bung Moktar berkata perkara itu sedang dibincangkan dan dirancang dengan teliti bersama Pengarah Pilihan Raya Negeri UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Bung Moktar, yang akan mempertahankan kerusi Lamag, berkata calon akan dipilih berdasarkan kebolehan untuk menang, bukannya kerana hubungan atau pertalian.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *