BANGI: Beberapa individu akan didakwa tidak lama lagi berhubung skandal rasuah yang didakwa melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
“Saya akan umumkan dalam masa terdekat; satu atau dua individu akan didakwa di mahkamah,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-undang Bertauliah SPRM kali kedua di sini hari ini.
Kes ini berkaitan dengan beberapa rakaman video yang tular, dipercayai memaparkan perbualan antara beberapa individu dengan wakil rakyat Sabah mengenai pelesenan mineral di negeri itu.
Pada 6 Jun lalu, dilaporkan bahawa SPRM telah melengkapkan kertas siasatan dan mengemukakannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
SPRM sebelum ini mengesahkan bahawa mereka telah membuka kertas siasatan berhubung perkara tersebut dan menjalankan analisis forensik digital yang menyeluruh terhadap video dan bukti lain yang berkaitan. – BERNAMA
