KOTA KINABALU: Suara Mahasiswa UMS, sebuah kumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah menegur kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, bahawa dua atau tiga orang yang dikaitkan dengan skandal rasuah di Sabah akan didakwa dalam masa terdekat.
“Selepas siasatan serta laporan forensik yang lama dan panjang, mengapa hanya dua orang sahaja yang akan didakwa di mahkamah? Sebaliknya kesemua individu-individu yang terlibat ini perlu diheret segera ke mahkamah,” kata Suara Mahasiswa UMS dalam satu kenyataan yang dipetik Malaysiakini semalam.
Terdahulu hari ini, Azam memaklumkan sekurang-kurangnya dua individu akan didakwa tidak lama lagi berkaitan dengan skandal rasuah yang sedang disiasat di Sabah. Beliau turut membayangkan kemungkinan lebih ramai individu akan didakwa selepas ini.
Dalam kenyataannya Suara Mahasiswa UMS menegaskan bahawa mana-mana individu yang telah didakwa di mahkamah perlu digantung tugas sepanjang proses perbicaraan berlangsung.
“Bahkan, kami turut menggesa mana-mana individu yang menghadapi pertuduhan untuk digantung tugas serta merta, sebagaimana yang terkandung dalam tuntutan ketiga Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang bakal berlangsung pada 21 – 22 Jun 2025 (Sabtu – Ahad) di Kota Kinabalu,” tambah mereka.
