KOTA KINABALU: Timbalan presiden parti STAR Sabah Datuk Ellron Angin menafikan dakwaan menerima rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral, yang telah mengaitkan sejumlah Adun di bawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Menurut Malaysiakini Ellron membuat penafian itu sebagai menjawab laporan portal berita tersebut pada 28 Jun lalu.
“Saya dengan tegas menafikan dakwaan menerima rasuah atau terlibat dalam sebarang urus niaga bernilai RM530,000,” kata Menteri Belia dan Sukan Sabah itu.
Beliau yang juga ADUN Sook berkata dakwaan itu merupakan fitnah tidak berasas yang didorong oleh motif politik tidak matang, dan telah mencemarkan nama baik serta integritinya sebagai wakil rakyat.
Penafian Ellron itu menyusul selepas penafian presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, yang turut dikaitkan dalam laporan tersebut.
Dalam laporan itu, satu sumber memberikan Malaysiakini tangkap layar yang dikatakan diambil daripada rakaman video membabitkan enam individu terbabit, serta jumlah wang yang didakwa mencecah RM3.96 juta.
Mengulas lanjut, Ellron berkata dia sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, kebertanggungjawaban dan tadbir urus bersih, sejajar dengan komitimen kerajaan Sabah dalam membanteras rasuah.
Beliau juga berkata telah mengarahkan pasukan guamannya untuk memulakan tindakan ke atas mana-mana pihak yang menyebarkan “dakwaan palsu” ke atasnya.
