KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri memperkenalkan Skim Insurans Berkelompok yang menawarkan perlindungan insurans kemalangan secara percuma kepada rakyat negeri ini, namun menyeru agar pelaksanaan dasar tersebut dinilai secara strategik dan kewangan yang lebih teliti.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, walaupun langkah ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah, pelbagai persoalan berbangkit perlu diberi perhatian serius demi menjamin keberkesanan dan kesinambungan skim tersebut.
Menurut beliau, tempoh pelaksanaan skim yang hanya merangkumi tiga tahun – dari 1 Mei 2025 hingga 30 April 2028 – menimbulkan persoalan tentang jangka hayat dan kesinambungan dasar itu dalam tempoh jangka panjang.
Tanpa pelan lanjutan atau kerangka dasar yang lebih menyeluruh, beliau bimbang skim ini akan menjadi dasar sementara yang kurang impak jangka panjang kepada kesejahteraan rakyat.
Tambahnya lagi, pemilihan Progressive Insurance Bhd, sebuah syarikat milik kerajaan negeri sebagai pelaksana utama turut menuntut penjelasan lanjut berkaitan proses pelantikan sama ada melalui tender terbuka atau rundingan terus.
Penjelasan ini penting bagi memastikan prinsip tadbir urus yang baik dan integriti pengurusan dana awam dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
UMNO Sabah turut membangkitkan persoalan berhubung mekanisme pemantauan prestasi pelaksanaan skim yang masih belum dijelaskan.
Suhaimi menegaskan bahawa sistem pentadbiran yang cekap, telus dan mesra rakyat amat penting bagi menjamin keberkesanan skim dan mengekalkan kepercayaan rakyat.
“Dari aspek perlindungan, jumlah pampasan RM10,000 dan khairat kematian RM500 dilihat tidak mencukupi dalam konteks kos kehidupan masa kini, terutamanya bagi keluarga yang berdepan kehilangan pencari nafkah.
“Ini menuntut penilaian semula agar jumlah perlindungan lebih relevan dengan keperluan semasa,” ujarnya.
Beliau juga menyatakan kebimbangan terhadap kaedah pelaksanaan automatik skim itu yang berpotensi menghadapi isu pertindihan data dan keciciran penerima sekiranya tidak diselaraskan dengan agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kesihatan, atau lain-lain.
Isu paling utama menurutnya ialah kemampuan kewangan kerajaan negeri untuk menampung kos premium bagi 3.5 juta penduduk. Sekiranya skim ini dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri, Suhaimi menekankan perlunya penjelasan mengenai kesan terhadap bajet sektor penting lain seperti kesihatan, pendidikan dan infrastruktur luar bandar.
“UMNO Sabah menyeru agar kerajaan negeri memperincikan mekanisme pengurusan, sumber pembiayaan, serta indikator kejayaan skim ini.
“Hanya melalui pendekatan yang lebih telus dan mampan, dasar ini benar-benar dapat memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Sabah,” tegasnya.
