KOTA KINABALU: Kenyataan bahawa BN Sabah dan GRS sedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menunjukkan bahawa kedua-duanya memilih untuk menyokong Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan, kata Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak.
ADUN Usukan itu berpandangan, pendekatan tersebut jelas menolak gagasan kerjasama eksklusif antara parti-parti tempatan semata-mata dan lebih mengutamakan kestabilan politik di peringkat nasional demi kepentingan rakyat.
Pandangan itu disuarakannya dalam hantaran terbaharunya di Facebook, yang mengulas mengenai kenyataan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengatakan BN sedia bekerjasama dengan PH dan kenyataan Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bahawa GRS juga terbuka untuk bekerjasama dengan PH.
“Parti politik hanyalah saluran, bukan matlamat akhir. Matlamat sebenar ialah mempertahankan hak Sabah dan memastikan pembangunan sampai ke seluruh negeri,” kata Salleh.
Beliau juga menegaskan bahawa dalam proses politik, yang paling utama adalah keutamaan kepada rakyat, bukan sentimen politik.
Menurutnya lagi, rundingan adalah satu proses yang memerlukan kesabaran dan saling menghormati, dengan fokus kepada tuntutan keadilan untuk Sabah.
“Kerjasama bukanlah pengorbanan prinsip, sebaliknya ia merupakan ruang untuk memperkukuh kedudukan Sabah dalam Persekutuan.
“Yang penting ialah keikhlasan, keutamaan kepada rakyat, dan kesatuan dalam memperjuangkan aspirasi bersama,” tegas beliau.

so siapalah yg diundi ni, GRS gabungla dgn Warisan kan mudah