KOTA KINABALU: Sokongan akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Presiden Parti merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal utuh dan tidak berbelah bahagi.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kini Anwar dalam jelajah dari negeri ke negeri dan maklumat yang diterima adalah sokongan rakyat sentiasa kukuh.
“Sokongan padu itu bukan sahaja di Semenanjung tetapi juga di Sabah…’rating’ Perdana Menteri di Sabah sangat tinggi dan ahli parti pun sokong penuh.
“Mungkin terdapat pihak tidak puas hati selepas pemilihan dalaman parti yang berlangsung baru-baru ini, tetapi ia tidaklah menggambarkan kedudukan sebenar sokongan akar umbi terhadap parti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran IPT kepada Bakal Mahasiswa Sabah di Kampung Warisan, Darau di sini, kelmarin.
Dalam pada itu katanya, Pakatan Harapan (PH) Sabah akan mengeluarkan manifesto untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dalam masa terdekat secara bersama.
Katanya, semua komponen PH Sabah akan bersama-sama mengeluarkan manifesto itu.
“Secara umumnya boleh dikatakan antara manifesto itu termasuklah isu-isu yang dekat dihati orang Sabah seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tuntutan hasil 40 peratus dan kita mahu pengagihan jawatan-jawatan di semua peringkat diagihkan secara adil.
“Pengagihan itu perlu diselaraskan dan kita tidak mahu ada pihak tidak puas hati. Kita akan keluarkan formula atau panduan bagaimana bila ada gabungan parti-parti politik dari segi pengagihan jawatan sama ada GLC, Ketua Kampung dan sebagainya…kita mahu agihkan sama rata mengikut kekuatan parti masing-masing,” katanya. – Utusan Borneo
