Sokongan rakyat dorong Rina pertahan Kukusan sebagai calon Bebas

TAWAU: Sokongan akar umbi yang tidak putus-putus menjadi pendorong utama kepada penyandang ADUN Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal, untuk menawarkan diri mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya ini sebagai calon Bebas.

Menurutnya, keputusan itu bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya lahir daripada hasrat untuk memastikan perjuangannya selama ini yang berteraskan suara rakyat dapat diteruskan tanpa sebarang tekanan atau kepentingan politik mana-mana parti.

“Perjuangan saya kini bukan lagi terbatas kepada kepentingan parti. Fokus saya hanya satu iaitu suara rakyat.

“Sebagai calon Bebas, setiap tindakan dan bantuan yang disalurkan adalah mengikut keperluan komuniti, bukan agenda politik,” katanya ketika ditemui pada program Dapur Ke Dapur di Kampung Tengku Osman, di sini.

Beliau berkata platform Bebas memberinya ruang berkhidmat dengan lebih jujur tanpa kekangan parti atau syarat tertentu.

“Saya tidak pandai berjanji, tetapi saya sentiasa membuktikan melalui kerja yang telah dibuat.

“Jika ada yang mahu memberi gelaran apa sekalipun, tidak mengapa, asalkan jambatan boleh dibina, peruntukan dapat turun, kampung dapat manfaat. Itu yang penting,” katanya.

Rina turut menegaskan bahawa kesinambungan pembangunan di Kukusan hanya dapat diteruskan jika mandat diberikan berdasarkan rekod kerja, bukan retorik.

“Segala pembangunan di Kukusan selama ini sama ada pendidikan, usahawan, infrastruktur mahupun kesejahteraan komuniti bukan muncul dalam sehari. Ia hasil kerja bertahun yang rakyat sendiri saksikan,” Katanya.

Menurutnya, ramai wanita di Kukusan sekadar mahu bekerja dan mencari rezeki, bukan terlibat dalam politik.

Sebab itu beliau mengangkat perjuangan yang memberi ruang dan peluang kepada golongan wanita, belia dan keluarga tanpa prejudis kepartian.

“Sokongan rakyat adalah kekuatan terbesar saya. Mereka mahu kesinambungan, mereka mahu suara yang benar-benar bekerja untuk mereka.

“Itu sebab saya kembali bertanding sebagai calon Bebas, demi aspirasi pembangunan yang belum selesai dan masa depan Kukusan,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Tengku Osman, Roslinda Yugi, berkata beliau sendiri menjadi saksi usaha Rina, sama ada ketika berada dalam blok kerajaan ataupun pembangkang.

“Datuk Rina banyak membantu rakyat Kukusan. Bukan sekadar kata-kata, tetapi kerja nyata, contohnya kawasan depan rumah kami yang selalu berlumpur setiap kali banjir.

“Jalan itu menyukarkan kami untuk keluar masuk, lebih-lebih lagi penduduk berhampiran sungai. Dengan bantuan Datuk, kawasan itu telah dikonkritkan dan sangat memudahkan kami.” Katanya.

Roslinda berkata, rekod pembangunan, perhatian terhadap pendidikan, sokongan kepada usahawan serta keprihatinan terhadap komuniti menjadikan Rina terus menerima kepercayaan penduduk. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *