Spekulasi anak Musa Aman sertai PKR kekal tidak berjawab

KOTA KINABALU: Khabar angin mengenai langkah Yamani Hafez Musa menyertai PKR kekal tidak berjawab apabila parti itu memilih untuk mengelak daripada mengulas spekulasi tersebut.

Menurut The Star, Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud menyarankan supaya soalan mengenai perkara itu diajukan kepada Yamani Hafez sendiri.

“Anda perlu tanya orang itu sendiri. Kami akan umumkan nanti,” katanya kepada pemberita.

Beliau dilaporkan berkata demikian selepas melancarkan bilik operasi pilihan raya bagi kerusi DUN Api-Api di Taman Fortuna, di sini, pada Ahad.

Sebelum ini khabar angin bertiup kencang bahawa Yamani Hafez, yang merupakan bekas timbalan menteri kewangan II telah menyertai PKR dan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin pada PRN akan datang.

Yamani Hafez yang juga anak Tun Musa Aman memenangi kerusi Parlimen Sipitang di bawah Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 2018 sebelum menyertai Bersatu. Beliau tidak mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 2022 dan sejak itu tidak aktif dalam politik.

Kerusi DUN Sindumin yang kini disandang oleh Datuk Dr Yusof Yacob dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dr Yusof, yang telah didakwa berhubung skandal rasuah perlombongan di Sabah, memenangi kerusi itu atas tiket Warisan sebelum berpindah ke Umno dan kemudian menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) yang dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mustapha berkata Sipitang adalah antara kerusi yang sedang dipertimbangkan untuk ditandingi oleh mereka dalam pilihan raya negeri.

Beliau juga berkata parti itu akan mempertahankan kerusi Api-Api dan Inanam.

Mustapha menambah, rundingan masih berjalan dan dijangka menyelesaikan beberapa pertindihan kerusi dengan Barisan Nasional untuk memuktamadkan pakatan pilihan raya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *