LAHAD DATU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua pesara sebuah agensi kerajaan negeri kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu bagi projek pembersihan kawasan dan penanaman kelapa tacunan berjumlah kira-kira RM6,000.
Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah Cawangan Lahad Datu.
“Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2021 semasa masih bertugas di sebuah agensi kerajaan di negeri ini.
“Siasatan awal juga mendapati mereka telah mengemukakan tuntutan palsu bagi pembayaran projek pembersihan kawasan dan penanaman kelapa tacunan berjumlah kira-kira RM6,000 sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan kedua-dua suspek dijangka didakwa dalam masa terdekat. – SNT