STAR berjuang demi rakyat, bukan kepentingan individu

KOTA KINABALU: Perjuangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah sentiasa berpaksikan tanggungjawab terhadap rakyat Sabah dan bukan didorong oleh kepentingan mana-mana individu.

Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata, setiap keputusan parti termasuk pemilihan calon pilihan raya dilakukan secara berhati-hati dan berdisiplin, berpandukan semangat perjuangan STAR yang menekankan prinsip ‘Justice for Sabah’ dan ‘Sabah for Sabahans’.

Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Bahagian STAR Nabawan, Jordan Jude Ellron yang dilaporkan kecewa selepas tidak dicalonkan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 (PRU 17 Sabah).

“Setiap keputusan dalam STAR dibuat dengan penuh tanggungjawab. Pemilihan calon bukan berdasarkan emosi, tekanan atau pengaruh mana-mana individu.

“Ia melalui penilaian kolektif yang meneliti strategi parti, kekuatan akar
umbi dan hala tuju perjuangan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan, di sini kelmarin.

Beliau berkata, bahawa DUN Tulid berada di bawah pimpinan Datuk Evaristus, dan STAR sebagai parti berdisiplin tidak boleh bertindak melangkaui struktur organisasi semata-mata kerana kehendak peribadi.

Menurutnya, Jordan ialah pemimpin muda yang mempunyai potensi besar, dan STAR telah merancang peranan yang lebih signifikan untuknya di peringkat Parlimen.

“Jordan telah dikenal pasti sebagai calon berpotensi untuk Parlimen Pensiangan, sama ada dalam PRU akan datang atau lebih awal, sekiranya keadaan mengizinkan.

“Masanya akan tiba. Parti percaya kepada potensi, semangat dan kesetiaan beliau,” katanya.

Jeffrey turut menjelaskan bahawa Jordan pada mulanya bersetuju apabila dipelawa untuk bertanding di Parlimen, namun kemudiannya berubah fikiran.

“Saya mahu lebih ramai anak muda berada di Parlimen. Saya minta dia membantu kempen dan dia setuju.

“Saya gembira dengan sikap positifnya dan meletakkan harapan tinggi. Malangnya, dia berubah fikiran,” katanya.

Beliau berkata, ramai anak muda mempunyai bakat dan tenaga, namun kurang kesabaran serta mudah berputus asa.

“Nasihat saya kepada anak muda adalah bersabar, mendengar lebih daripada bercakap, berfikir sebelum bertindak.

“Bergerak pantas tetapi jangan gopoh. Untuk menjadi pemimpin yang baik, jadilah pengikut yang baik terlebih dahulu,” jelasnya.

Jeffrey menyeru semua pemimpin dan ahli STAR supaya menghormati keputusan parti dan mengekalkan perpaduan demi perjuangan yang lebih besar bagi rakyat Sabah.

“Perjuangan STAR bukan tentang siapa dapat kerusi. Ia tentang siapa yang sanggup berkorban untuk rakyat. Kesetiaan, disiplin dan keikhlasan adalah asas perjuangan politik yang matang dan bermaruah,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa STAR akan terus tegas memperjuangkan hak rakyat Sabah, termasuk autonomi negeri dan kedaulatan Sabah sebagai negeri yang ditadbir oleh anak Sabah sendiri.

“STAR ditubuhkan untuk membela hak rakyat Sabah. Tidak ada ruang untuk kepentingan peribadi mengatasi perjuangan rakyat,” katanya.

Jeffrey berkata, pintu parti sentiasa terbuka untuk Jordan sekiranya beliau memilih untuk bersama perjuangan STAR.

“Saya berharap Jordan menilai semula keputusannya dengan fikiran terbuka.

“STAR masih percaya kepada komitmen dan kemampuannya. Kita perlukan pemimpin muda yang setia dan jujur yang benar-benar mahu berjuang untuk rakyat Sabah,” katanya. – Sabah Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *