KENINGAU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Bingkor kekal teguh dengan pendirian untuk terus berjuang bersama Presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan.
Pemangku Ketua Bahagian STAR Bingkor, Robert Paulus (gambar) berkata, pendirian itu sekali gus menafikan dakwaan yang mengatakan keseluruhan bahagian itu sudah beralih pendirian.
Menurutnya, dakwaan STAR Bingkor beralih sokongan kepada pihak tertentu melalui Pusat Daerah Mengundi (PDM) Keningau Station adalah tidak benar dan hanya bersifat solidariti individu.
Katanya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua PDM Keningau Station, Mohd Hasnan Tawik @ Charles, tidaklah seperti yang digembar-gemburkan.
“Kami ingin tegaskan bahawa sokongan PDM berkenaan lebih kepada sokongan peribadi dalam politik, memandangkan Mohd Hasnan adalah abang kandung kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, dakwaan itu juga disifatkan sebagai jauh menyimpang dari perkara sebenar sedangkan STAR Bingkor mempunyai 13 PDM, dan 12 daripada 13 PDM kekal utuh bersama kepimpinan presiden.
“Kami tegaskan, majoriti besar akar umbi STAR di Bingkor masih kukuh dan tidak berganjak dalam menyokong kepimpinan serta hala tuju Datuk Seri Jeffrey.
“Mereka memahami dengan jelas isu-isu politik semasa dan menyedari pentingnya kesatuan dalam perjuangan parti,” jelasnya.
Robert berkata, STAR Bingkor mempunyai sejarah panjang dan akar perjuangan yang kuat di kawasan itu.
Menurutnya, parti itu mula bertapak di DUN Bingkor sejak awal perjuangan parti yang diasaskan oleh presiden sendiri hingga menjadi salah satu kubu penting dalam membawa mesej perjuangan ‘Sabah untuk rakyat Sabah’, sebelum menyerahkan kepada Robert.
Katanya, dari situlah semangat perjuangan tempatan berkembang dan membentuk kekuatan parti hingga ke hari ini.
Justeru beliau menyeru agar semua ahli STAR di Bingkor terus bersatu hati, menolak politik perpecahan dan tidak mudah terpengaruh dengan percubaan mana-mana pihak yang mahu mencipta persepsi palsu demi kepentingan peribadi.
“Kesetiaan kami yang utama tetap kepada perjuangan tanah airku di bawah kepimpinan tunggal Datuk Seri Jeffrey,” katanya. – Utusan Borneo
