STAR keliru status MoU dengan PBS

KOTA KINABALU: Sokongan Parti Bersatu Sabah (PBS) terhadap calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di DUN Tambunan telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) dan PBS.

“Mereka ingin tahu sama ada PBS masih berminat dengan MoU tersebut atau telah membatalkannya,” kata Setiausaha Agung Sabah STAR Datuk Edward Linggu.

Menurut beliau MoU itu menekankan mengenai komitmen sokongan bersama.

Pada Oktober lalu STAR bersama SAPP telah meninggalkan gabungan GRS untuk bertanding dalam pilihan raya negeri secara bebas.

“Namun, dengan MoU asal untuk bekerjasama, kami menyangka mereka akan tetap menghormatinya walaupun kami keluar daripada GRS,” kata Edward sebagaimana dipetik oleh The Star.

Beliau berkata apabila PBS tidak meletakkan calon di Tambunan, kerusi yang disandang oleh Presiden Sabah STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, mereka beranggapan tindakan itu menunjukkan PBS menghormati dan masih mematuhi MoU berkenaan.

Disebabkan itu, katanya, STAR tidak bertanding di Kundasang dan Matunggong, yang masing-masing disandang oleh pemimpin PBS.

“Apabila mereka tidak bertanding, pengarah strategi kami secara terbuka menyokong PBS di Matunggong kerana adanya MoU tersebut,” katanya.

Tambah beliau, Sabah STAR percaya PBS membalas sokongan itu dengan tidak bertanding di Tambunan.

Walau bagaimanapun kekeliruan timbul apabila PBS menyatakan sokongan kepada calon GRS di Tambunan, , Victor Paut.

Edward bertanya sama ada sokongan terbuka itu bermaksud PBS telah menamatkan MoU itu secara unilateral.

The Star turut melaporkan apabila STAR keluar daripada GRS bersama SAPP, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, telah meminta satu pertemuan berhubung MoU tersebut.

Beliau berkata perjanjian itu masih berkuat kuasa sehingga kedua-dua pihak bersetuju untuk menggantung atau membubarkannya.

Beliau menambah bahawa MoU itu bertujuan mengukuhkan GRS, namun Sabah STAR tidak pernah memberikan maklum balas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *