TUARAN: Kepimpinan dan ahli Parti Solidariti Tanahairku (STAR) Bahagian Kiulu sebulat suara menyatakan sokongan penuh terhadap Ketua Bahagian Terence Sinti sebagai calon tunggal parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17.
Sokongan padu itu dinyatakan menerusi satu mesyuarat khas yang dihadiri kira-kira 50 ahli, termasuk barisan Ahli Jawatankuasa Bahagian, Ketua-Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM), Wiramuda, Wiranita serta ketua-ketua cawangan STAR Kiulu.
Dalam kenyataan yang dibacakan Ketua Wiramuda STAR Kiulu, mereka menegaskan bahawa Terence Sinti bukan sahaja seorang pemimpin yang berwibawa tetapi juga dianggap sebagai penggerak utama yang sudah lama memperkukuh pengaruh dan kehadiran STAR di Kiulu.
“Beliau sudah memimpin STAR Kiulu dengan komitmen tinggi, turun padang mendengar masalah rakyat serta membantu komuniti tanpa mengira masa.
“Usaha beliau membina semula kekuatan akar umbi terbukti melalui peningkatan keahlian dan penyertaan aktif masyarakat Kiulu dalam STAR,” katanya.
Mesyuarat itu turut menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan pihak luar untuk melobi sebagai calon “bidang terjun” yang hanya muncul menjelang pilihan raya, sekali gus dianggap mencabar kesetiaan dan kerja keras ahli tempatan.
“Kami berdiri teguh di belakang Terence Sinti, beliau bukan calon yang dicari-cari secara tergesa, sebaliknya pejuang yang sudah lama menabur bakti di kawasan ini,” menurut kenyataan bersama itu.
Pimpinan STAR Kiulu turut mengecam tindakan mana-mana pihak yang cuba memintas proses dalaman parti atau mencantas kepimpinan melalui jalan tidak beretika, dengan menyifatkan tindakan seperti itu sebagai tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri.
“Jentera STAR Kiulu dibina atas pengorbanan, masa dan tenaga anak tempatan. Kami tidak akan membenarkan sesiapa mengambil kesempatan atas usaha orang lain.
“Seluruh ahli Jawatankuasa Bahagian, Wiramuda, Wiranita dan Ketua-Ketua PDM turut menzahirkan komitmen untuk terus berdiri teguh bersama Terence Sinti dalam memperkukuh jentera parti menghadapi PRU DUN Sabah Ke-17.
“Kami tidak dipaksa, ini rumah kami, ini maruah kami, dan ini perjuangan kami,” kata mereka penuh semangat.
Mesyuarat itu berakhir dengan ikrar untuk mengekalkan kesatuan dan memperkukuh solidariti antara semua sayap parti bagi memastikan STAR Kiulu terus menjadi benteng kekuatan parti di kawasan berkenaan. Utusan Borneo
