STARSABAH Bandau kekal setia bersama parti

KOTA MARUDU: Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) Bandau kekal teguh dan setia dibawah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan.

Timbalan Ketua Bahagian STARSABAH Bandau, Shirewin Davin Patrick berkata, beliau bersama seluruh barisan kepimpinan bahagian serta ahli-ahli di peringkat akar umbi kekal bersama parti itu.

Menurutnya, sebanyak 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan lebih 4,000 ahli aktif akan terus berdiri bersama STARSABAH dan bersiap sedia memastikan kemenangan calon STARSABAH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Shirewin turut menolak dan membantah sekeras-kerasnya dakwaan bekas Ketua Bahagian Bandau yang kononnya STARSABAH Bandau kekal menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

“Dakwaan itu tidak benar, mengelirukan, dan langsung tidak mencerminkan pendirian sebenar ahli STARSABAH di Bandau,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, walaupun STARSABAH menghargai semangat kerjasama dalam GRS, keputusan untuk keluar daripada gabungan itu adalah pendirian kolektif kepimpinan tertinggi parti selepas menilai kepentingan jangka panjang rakyat Sabah dan semangat perjuangan ‘Sabah untuk Rakyat Sabah’.

Shirewin turut menasihatkan agar mana-mana pihak yang tidak lagi sehaluan dengan hala tuju parti agar bertindak secara beretika.

“Beberapa program besar STARSABAH Bandau seperti Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya, Sesi Taklimat Kepimpinan Bahagian dan Majlis Perjumpaan PDM telah dihadiri oleh Presiden.

“Malangnya, pada program-program itu, bekas Ketua Bahagian tidak hadir walaupun dijadualkan untuk berucap, malah dilaporkan menganjurkan program persendirian pada masa yang sama,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu jelas menunjukkan sikap tidak menghormati kepimpinan tertinggi parti serta bertentangan dengan semangat disiplin organisasi yang menjadi asas kekuatan STARSABAH selama ini.

Mengulas dakwaan kononnya ‘lebih separuh AJK Bahagian Bandau’ menyokong GRS, Shirewin menegaskan bahawa dakwaan itu tidak berasas.

“Kepimpinan dan akar umbi STARSABAH Bandau masih utuh bersama parti. Majoriti PDM di bawah bahagian ini kekal menyokong parti dan Presiden,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *