Suami lari, isteri ditahan bersama 1kg syabu di Semporna

SEMPORNA: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah sanggup melarikan diri meninggalkan isterinya bersama lebih satu kilogram dadah dalam serbuan di sebuah rumah atas air di Kampung Sejati 2, di sini, kelmarin.

Dalam operasi Op Taring yang dijalankan kira-kira jam 7 pagi itu, sepasukan anggota dan pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 22 menyerbu kediaman terbabit hasil maklumat risikan.

Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias, berkata ketika serbuan dilakukan, seorang wanita berjaya ditahan, manakala lelaki dipercayai suaminya meloloskan diri melalui tingkap dapur rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah menemukan beberapa bungkusan plastik mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu yang disorok di celah dinding dan almari.

“Anggaran keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM34,755.50,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.

Abdul Rani berkata, ujian saringan air kencing terhadap wanita terbabit didapati negatif, namun siasatan tetap dijalankan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Semua rampasan dan suspek telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut.

“Usaha mengesan lelaki yang melarikan diri itu masih giat dijalankan pasukan risikan,” katanya.

Beliau berkata, PGA Batalion 22 sentiasa komited dalam melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain bagi mengekang kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di kawasan tanggungjawabnya. – Sabah Post

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *