SANDAKAN: Ketua Penerangan UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, hari ini turun padang ke Pulau Nunuyan bagi bertemu dengan jentera Barisan Nasional (BN) di kawasan tersebut dalam usaha memastikan kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menurut beliau, kekuatan BN terletak pada semangat, kesatuan dan kerja berpasukan yang kukuh di semua peringkat jentera parti.
“Kita mahu memastikan jentera BN di Pulau Nunuyan benar-benar bersiap sedia. Kekuatan kita terletak pada semangat, kesatuan dan kerja berpasukan. Bila jentera bersatu, insya-Allah kemenangan pasti berpihak kepada kita,” katanya.
Tambah Suhaimi, BN sentiasa menitikberatkan penyertaan aktif akar umbi dalam setiap peringkat persiapan menjelang pilihan raya bagi memastikan mesej perjuangan parti sampai ke setiap lapisan masyarakat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.
Dalam perkembangan lain, Suhaimi yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran telah meninjau projek pembinaan jeti pelancongan di Kampung Pangkalan Batu 10, di sini, yang merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan kemudahan pelancongan di kawasan tersebut.
“Pembangunan infrastruktur seperti ini amat penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan serta menarik lebih ramai pelancong ke kawasan Parlimen Libaran,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, dengan peningkatan kemudahan pelancongan dan sokongan infrastruktur yang lebih baik, kawasan Libaran berpotensi menjadi salah satu destinasi pelancongan utama di pantai timur Sabah, sekali gus memberikan manfaat ekonomi kepada penduduk setempat. – UMNO Online
