LIBARAN: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan kepada seluruh jentera dan ahli parti di semua peringkat agar tidak menjadi “duri dalam daging” dalam perjuangan politik, sebaliknya mengutamakan kesetiaan, keikhlasan dan keutuhan saf perjuangan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Ramah Mesra di PDM Gum-Gum, di sini, baru-baru ini.
“Dalam perjuangan yang sama, kita mesti ada keseimbangan. Tidak boleh ada yang mendahulukan kepentingan peribadi sehingga menjejaskan kekuatan parti. Keutamaan kita adalah perjuangan bersama untuk rakyat dan parti,” katanya.
Menurut beliau, setiap kelemahan di peringkat PDM perlu dikenal pasti lebih awal sebelum memasuki medan PRN, selain memastikan strategi tersusun dengan pembahagian peranan yang jelas di antara barisan hadapan, barisan kedua dan barisan ketiga.
“Strategi yang tersusun dan pembahagian peranan amat penting bagi memastikan kemenangan dalam PRN Sabah yang akan datang,” ujarnya.
Suhaimi menambah keyakinannya bahawa semangat kebersamaan serta disiplin jentera yang mantap akan menjadi kunci memastikan Barisan Nasional (BN) terus kekal relevan serta menjadi pilihan rakyat. – UMNO Online
