KOTA KINABALU: Bulan Syawal seharusnya menjadi medan untuk mengeratkan silaturahim, bukan memutuskan hubungan, meskipun wujud perbezaan politik.
Menegaskan mengenai perkara itu bekas ketua menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak berkata, perbezaan pandangan dalam politik merupakan sesuatu yang lumrah dalam sistem demokrasi, terutamanya di Sabah yang sememangnya terkenal dengan kepelbagaian ideologi politik.
“Politik bukan soal peribadi atau emosi, sebaliknya ia berkaitan dengan kepercayaan dan pendekatan terhadap masa depan negeri,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang juga ADUN Usukan dan Bendahari Umno Sabah seterusnya berkata, perbezaan parti politik tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada hubungan baik sesama individu.
“Di bulan Syawal ini, kita lihat sendiri bagaimana pemimpin dan rakyat daripada pelbagai latar belakang hadir ke rumah-rumah terbuka, bersalam dan bermaaf-maafan,” katanya.
Salleh turut memuji budaya masyarakat Sabah yang tetap mengekalkan rasa hormat antara satu sama lain walaupun berbeza pandangan politik.
“Kita perlu terus memupuk semangat ini. Sabah akan menjadi lebih kuat jika kita kekal bersatu walaupun mempunyai pendekatan yang berbeza,” katanya.
