KOTA KINABALU: Walaupun ada penganalisis politik berpandangan bahawa kehadiran PAS dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah hanya sebagai ‘kacau daun’, namun PAS negeri ini yakin mampu membuat kejutan dengan memenangi kerusi pertamanya pada PRN tersebut.
Menurut FMT dalam laporannya semalam, Setiausaha PAS Sabah, Sahar Abdul Majid (gambar) berkata penyertaan PAS dalam PRN kali ini lebih berstrategik dan tersusun serta mempertaruhkan tokoh yang menepati aspirasi rakyat.
Sahar dilaporkan berkata keyakinan itu adalah berdasarkan langkah partinya yang akan menghantar calon-calon boleh menang untuk bertanding, oleh itu tidak mustahil PAS boleh mencapai kemenangan di kerusi tertentu.
“Kita semua faham bahawa politik itu unik dan serba kemungkinan. Rakyat juga sudah bijak dimana semua maklumat di hujung jari terutama dalam kalangan anak muda,” katanya kepada FMT.
Sahar berkata, pandangan bahawa PAS mampu menjadi penentu kemenangan berpihak kepada siapa juga membuktikan bahawa penyertaan parti itu tidak boleh dipandang sebelah mata.
Katanya, kemenangan pertama PAS di Sabah juga sangat penting kerana ia mampu mengubah landskap politik di negeri itu.
“Kemenangan PAS juga boleh mengubah persepsi kepada pelbagai pihak terhadap PAS termasuk kononnya kita tidak mesra kepada bukan Islam,” katanya.
Kelmarin, penganalisis politik terkenal dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Lee Kuok Tiung menyifatkan kehadiran hanya berpotensi sebagai ‘pengacau daun’ dan berpandangan parti itu sukar memenangi kerusi pertama di negeri ini.
Walaupun mengakui perkembangan PAS yang dilihat mula menerima sokongan terutama di kalangan komuniti Islam di Sabah, namun Lee berpandangan ia masih belum mencukupi.
PAS sebelum ini mengesahkan akan bertanding sekurang-kurangnya enam daripada 73 kerusi DUN Sabah pada PRN, dengan kemungkinan menggunakan logo parti gabungan bersama Perikatan Nasional.
