KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, bila Dewan Undangan Negeri Sabah akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri hanya akan ditentukan selepas beliau berunding dengan semua parti komponen di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakan-rakan mereka dalam Pakatan Harapan Plus.
“Kita perlu berjumpa dan berbincang dahulu. Bukan sahaja sesama kita dalam GRS tetapi juga dengan rakan kongsi kita dalam kerajaan negeri. Barulah kita boleh memutuskan masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya,” kata beliau sebagaimana dilaporkan The Star.
Kenyataan Hajiji itu membuka kemungkinan PRN Sabah hanya akan diadakan selepas tamat penggal pada November nanti.
Sebelum ini banyak pihak meramalkan kemungkinan sidang DUN Sabah yang berakhir semaam merupakan yang terakhir sebelum pembubaran.
Mengenai kenyataan Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin baru-baru ini bahawa BN telah memutuskan untuk memilih PH Sabah sebagai rakan kerjasama pada PRN akan datang, Hajiji berkata ia adalah pandangan mereka.
“Itu pandangan Barisan. Kami adalah kerajaan yang memerintah di Sabah hari ini. Tetapi, demi kebaikan rakyat, kami tidak akan menutup pintu untuk rundingan dengan mana-mana pihak lain,” katanya.
.
