TAWAU: UMNO Bahagian Kalabakan melaksanakan pendekatan politik baharu yang dinamakan TEGAR71 (Teh & Sanggar @ Pisang Goreng) sebagai usaha merapatkan hubungan parti dengan rakyat di peringkat akar umbi.
Program yang mengetengahkan sesi santai bersama rakyat itu mula mendapat sambutan apabila siri keduanya yang diadakan di Kampung Tanjung Batu Laut (Logpond) berjaya menghimpunkan penduduk setempat dalam suasana mesra dan terbuka.
Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop berkata, pendekatan TEGAR71 membawa mesej politik yang lebih membumi, jujur dan menyentuh denyut nadi sebenar rakyat.
Katanya, ia berbeza daripada pendekatan konvensional yang sering terlalu bersifat rasmi dan jauh daripada masyarakat.
“Kita mahu dekati rakyat bukan melalui pentas besar atau majlis rasmi, tetapi dengan cara yang lebih santai duduk minum teh, makan pisang goreng sambil berbicara mengenai isu harian, harapan dan masa depan mereka.
“Siri pertama program berkenaan sebelum ini telah diadakan di Kampung Tanjung Batu Darat dan menerima sambutan positif daripada penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, pendekatan TEGAR71 bukan sekadar simbolik, sebaliknya menjadi ruang sebenar untuk pemimpin mendengar sendiri suara rakyat tanpa protokol, selain berkongsi kisah perjuangan masing-masing.
Mengimbau perjalanan hidupnya, Samasuddin berkata beliau adalah antara anak Sabah yang menerima manfaat hasil penubuhan Universiti Malaysia Sabah (UMS) oleh kerajaan Barisan Nasional pada tahun 1994.
“Saya mula belajar di UMS pada tahun 1996. Kalau tidak kerana UMS, mungkin saya tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana kami bukan dari keluarga berada.
“Saya juga pernah berkhidmat sebagai pegawai kerajaan selama 14 tahun sebelum membuat keputusan untuk membuka syarikat sendiri demi memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda Sabah,” katanya.
Katanya, syarikat yang ditubuhkan bukan semata-mata untuk keuntungan, sebaliknya sebagai platform mencipta peluang pekerjaan kepada graduan UMS dan anak muda yang pulang ke Tawau selepas menamatkan pengajian.
Beliau berkata, program TEGAR71 turut menyediakan sesi dialog terbuka dan perkongsian kisah hidup rakyat, sambil disajikan teh panas dan pisang goreng sebagai simbol kesederhanaan dan keikhlasan antara pemimpin dan masyarakat.
“UMNO Kalabakan akan meneruskan penganjuran siri TEGAR di kampung-kampung lain dalam DUN Tanjung Batu, sebelum diperluaskan ke kawasan lain di Parlimen Kalabakan seperti Kukusan, Merotai dan Sebatik.
“Politik perlu kembali kepada rakyat. Kita perlu bina semula kepercayaan dengan kehadiran, keikhlasan dan keberanian untuk mendengar. TEGAR adalah platform untuk itu,” katanya. – Utusan Borneo
