Tiada lagi EOT untuk projek Pan Borneo – Ahmad Maslan

LAHAD DATU: Kerajaan tidak akan lagi bertolak ansur terhadap sebarang kelewatan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo khususnya bagi Pakej 1B, kata, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, tiada sebarang lanjutan masa atau Extension of Time (EOT) akan diberikan kepada mana-mana kontraktor yang terbabit dalam projek itu bagi memastikan kelewatan seperti yang berlaku dalam Pakej 1A tidak berulang.

“Saya sudah mendapat taklimat lengkap mengenai projek ini, termasuk Pakej 1A dan 1B. Justeru saya memberi peringatan awal, supaya tiada EOT diberikan kepada mana-mana syarikat dengan apa juga alasan.

“Kalau satu syarikat diberi EOT, ia akan dijadikan alasan oleh syarikat lain dan akhirnya keseluruhan projek akan lewat. Ini yang berlaku dalam Pakej 1A dahulu,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja di sini, kelmarin.

Menurutnya, Pakej 1A membabitkan 15 Pakej Kerja (WP) manakala Pakej 1B melibatkan 19 WP yang baharu dianugerahkan pada penghujung tahun lalu.

Katanya, kelewatan dalam pelaksanaan Pakej 1A amat ketara apabila terdapat kontraktor yang menerima sehingga empat hingga lima kali EOT sehingga menyebabkan projek lewat dua hingga tiga tahun.

“Projek yang terlalu lama bukan sahaja merugikan kerajaan, malah menyusahkan rakyat. Jalan tidak siap dan tidak diselenggara dengan baik. Malah, kita dapati ada kawasan yang rosak teruk kerana tidak dijaga oleh kontraktor,” katanya.

Ahmad berkata, dalam tempoh pelaksanaan projek, kontraktor bertanggungjawab sepenuhnya menyelenggara jalan yang diambil alih daripada konsesi penyelenggaraan jalan persekutuan.

“Kalau mereka tidak menyelenggara, jalan itu akan rosak dan menyukarkan pengguna, termasuk rakyat yang terpaksa menanggung derita bertahun-tahun. Ini yang berlaku dalam projek-projek sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, pihak kementerian juga mahu melihat lebih banyak projek disiapkan lebih awal atau Ahead of Time (AOT), kerana ia memberi manfaat kepada semua pihak.

“Jika satu projek dapat disiapkan tiga bulan lebih awal, dengan kos operasi sekitar RM300,000 sebulan, itu bermakna kontraktor jimat RM900,000.

“Kerajaan juga jimat kerana tidak perlu bayar tuntutan tambahan seperti Variation Order (VO), dan rakyat pula dapat guna jalan lebih awal,” katanya.

Ahmad berkata, beliau dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, bersetuju untuk tidak melayan permohonan EOT yang tidak munasabah daripada mana-mana pihak.

“Kita tidak mahu ada alasan yang direka-reka. Saya tidak mahu perkara ini berlaku dan ini adalah peringatan awal daripada saya. Pakej 1B mesti dilaksanakan mengikut jadual, tanpa alasan dan tanpa kompromi,” katanya. – Utusan Borneo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *