Tiada lesen melombong emas dikeluarkan – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menjelaskan bahawa setakat ini tiada sebarang lesen melombong, khususnya emas, yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri berkaitan dengan isu perlombongan mineral di Sabah.

Beliau menegaskan bahawa apa yang telah diberikan oleh kerajaan negeri adalah lesen mencari gali atau ‘prospecting licence’ (PL), yang membenarkan syarikat untuk melakukan kerja eksplorasi mineral di kawasan yang telah ditetapkan, bukannya lesen melombong yang membenarkan pengeluaran mineral.

Hajiji menjelaskan perkara ini pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) semalam bagi menjawab soalan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) mengenai tanah seluas kira-kira 400 hektar di Nagos, Semporna yang didakwa diberikan kepada pihak tertentu untuk aktiviti eksplorasi mineral.

Hajiji berkata lesen mencari gali bukan pajakan melombong yang membenarkan pemegang lesen melakukan pengeluaran mineral.

Bagi pajakan melombong, katanya segala kepentingan kerajaan seperti ekuiti, royalti, fi pajakan melombong dan lain-lain akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri negeri.

“Jadi, persoalannya di kawasan Nagos ini, keputusan untuk memberikan lesen mencari gali (PL) kepada syarikat swasta adalah berdasarkan kepada strategi kewangan yang kukuh dan pengurusan risiko yang bijak,” katanya.

Aktiviti eksplorasi mineral, tambah beliau, adalah suatu usaha yang rumit secara teknikal kerana melibatkan aspek geologi kawasan, jenis mineral, serta infrastruktur yang memerlukan modal besar dan berisiko tinggi.

“Oleh itu, kerja eksplorasi tersebut diserahkan kepada syarikat swasta kerana mereka akan menanggung sepenuhnya kos penerokaan tanpa sebarang jaminan pulangan.

“Dengan memindahkan risiko kepada entiti swasta, kerajaan negeri dibebaskan daripada keperluan untuk melabur modal, mengurus operasi, atau menjalankan pemasaran dan jualan,” katanya.

Mengulas sama ada syarikat menjalankan cari gali akan diberi lesen melombong, Hajiji berkata kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memberi peluang kepada syarikat berkenaan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *