KOTA KINABALU: Semua pihak yang terlibat dalam projek pembinaan kilang simen bersepadu di Penangah, Tongod kekal komited dan tiada syarikat menarik diri daripada pelaburan tersebut, menurut Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.
Beliau menjelaskan maklumat yang diterima daripada Borneo Cement (Sabah) Sdn. Bhd. (BCS) mengesahkan bahawa pelaksanaan projek berjalan seperti dirancang, dengan kerjasama erat bersama Sinoma Industry Engineering (Malaysia) Sdn. Bhd., pengeluar simen terbesar dunia.
“BCS kini sedang menunggu kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) penuh sebelum memulakan pembinaan sepenuhnya. Bagaimanapun, kerja tanah di tapak projek telah pun mendapat kelulusan daripada Jabatan Perlindungan Alam Sekitar,” katanya pada perbahasan di Sidang DUN Sabah hari ini.
Phoong turut memaklumkan bahawa lesen MML kilang tersebut telah pun diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada tahun 2023.
Mengulas dakwaan kononnya terdapat aktiviti pembalakan di tapak projek, Phoong menegaskan bahawa tiada sebarang pembalakan baharu dijalankan. Tapak seluas 81 hektar itu sebelum ini merupakan kawasan konsesi milik Rakyat Berjaya Sdn. Bhd. yang dijalankan bersama Indah Serimas Sdn. Bhd.
Katanya, menurut maklumat daripada Jabatan Perhutanan Negeri Sabah, kawasan tersebut pernah digunakan untuk aktiviti ‘stamping’ dan masih terdapat stok balak lama yang belum dikeluarkan kerana menunggu proses pembayaran cukai.
“Operasi pembalakan aktif di kawasan Tongod telah dihentikan sepenuhnya sejak tahun 2023 dan tiada sebarang penebangan baharu dilaporkan berlaku,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tiada isu penebangan hutan secara haram berlaku dan projek pembinaan kilang tersebut akan terus dipantau untuk memastikan pematuhan terhadap aspek perundangan dan alam sekitar.
