‘Tidak dicalon pun saya sedia bantu GRS’ – Hassan

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg Amir menyatakan kesediaannya membantu calon daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, perjuangan politiknya bukan bersandarkan kepentingan peribadi semata-mata, sebaliknya lebih menitikberatkan kepentingan rakyat dan pembangunan kawasan.

“Seperti yang saya nyatakan, perjuangan kita adalah untuk kepentingan umum, bukan kepentingan peribadi.

“Jika pucuk pimpinan memutuskan untuk meletakkan calon lain yang dirasakan lebih sesuai dan mampu membawa pembangunan ke kawasan Sebatik, saya bersedia memberi sokongan penuh dan membantu calon berkenaan.

“Yang penting, calon itu adalah daripada parti di bawah gabungan GRS,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Perwakilan Tahunan Bahagian Gagasan Rakyat Sebatik di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut menepis tohmahan pihak tertentu yang melabelkannya sebagai ‘katak politik’ susulan penghijrahannya dari Parti Warisan (WARISAN) ke Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Katanya, tindakan itu bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya demi memastikan pembangunan dan peruntukan dapat disalurkan kepada rakyat di kawasannya.

“Saya dikatakan melompat parti, digelar ‘katak’, tapi saya melompat bukan untuk diri sendiri, keputusan itu untuk masyarakat, supaya boleh mendapatkan peruntukan dan membawa pembangunan ke Sebatik.

“Daripada saya jadi katak di bawah tempurung yang hanya tahu berbunyi tetapi tidak bawa apa-apa pembangunan, lebih baik saya lakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Hassan berkata, mereka yang tidak berpindah parti juga tidak seharusnya terus melabel orang lain secara tidak adil kerana semua pihak perlu dilihat secara menyeluruh.

“Yang tidak keluar parti pun boleh dianggap sebagai katak, cuma mereka tidak melompat secara fizikal, tapi tetap tidak menyumbang apa-apa kepada pembangunan,” katanya.

 

Oleh:
Hamzah Sanudin/Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *