PAPAR: Lebih 300 orang nelayan kecil di Kampung Kuala Papar kini berdepan dilema besar apabila hasil tangkapan yang menjadi punca rezeki mereka semakin terhimpit akibat pelbagai kekangan, termasuk larangan menangkap ikan di kawasan tertentu serta persaingan dengan kapal besar.
Baru-baru ini, seorang nelayan tempatan dilaporkan dipenjara hanya kerana menangkap ikan di kawasan larangan berdekatan Pulau Tiga. Insiden ini mengundang simpati pelbagai pihak apabila difahamkan tangkapan tersebut dilakukan demi mencari sesuap nasi untuk anak dan isteri.
Menurut Penyelaras DUN Pantai Manis, Ustaz Azman Jupri, isu ini bukan sekadar soal undang-undang, tetapi juga menyentuh soal kemanusiaan.
“Nelayan ini bukan orang kaya. Mereka turun ke laut bukan untuk bina rumah agam, tetapi sekadar mencari rezeki buat keluarga. Hasil tangkapan mereka cukup-cukup untuk makan, bayar minyak, dan hantar anak-anak ke sekolah,” katanya.
Beliau yang turun bertemu sendiri dengan para nelayan menjelaskan bahawa kawasan menangkap ikan yang dibenarkan kini semakin mengecil, manakala lokasi yang dibuka kepada nelayan kecil terletak jauh di tengah laut dan berbahaya, terutama pada musim hujan. Keadaan menjadi lebih sukar apabila kawasan sekitar Pulau Tiga, yang kaya dengan hasil laut dijadikan kawasan larangan.
“Kalau nelayan memukat di Pulau Tiga, mereka boleh dapat hasil RM200 hingga RM300 sehari. Tapi risikonya besar, mereka boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara. Sudah ada pun yang menerima nasib itu,” katanya lagi.
Akibat persaingan dengan kapal besar dan kawasan larangan, ramai nelayan hanya memperoleh pendapatan sekitar RM20 hingga RM30 sehari, malah ada yang menanggung kerugian kerana kos minyak lebih tinggi daripada hasil tangkapan.
Ustaz Azman turut menyeru agar kerajaan negeri dan pihak berkuasa mengambil pendekatan lebih berperikemanusiaan dalam menangani isu ini.
“Sabah sudah lama merdeka, tetapi beginikah rakyatnya disantuni? Kita minta ihsan pihak berwajib untuk mempertimbangkan nasib para nelayan kecil ini. Mereka bukan penjenayah, mereka hanya mahu hidup,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat harus bersama-sama membantu nelayan setempat dalam kapasiti masing-masing, mengikut lunas undang-undang, kerana mereka juga merupakan penyumbang penting kepada bekalan makanan negara.
“Isu ini dijangka akan terus menjadi perhatian umum dan diharap pihak berkuasa dapat mencari penyelesaian terbaik agar kebajikan nelayan Kuala Papar terbela tanpa menjejaskan kelestarian ekosistem laut,” katanya.
