Tindakan STAR, SAPP tinggalkan GRS ‘taktik lapuk kitar semula’ – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Keputusan STAR dan Parti Progresif Sabah (SAPP) untuk keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak lebih daripada taktik politik kitar semula menjelang pilihan raya negeri, kata Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Menurut Ketua UMNO Sabah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu langkah tersebut bukanlah sesuatu yang strategik atau baharu, sebaliknya hanya taktik lapuk yang diulang oleh pelakon yang sama dalam gelanggang politik Sabah.

Dalam kenyataannya pada Ahad, Bung berkata, dalam  politik Sabah terdapat terlalu ramai yang mendakwa berjuang untuk rakyat sedangkan tangan mereka sibuk merebut kuasa.

“Mereka ibarat kata pepatah, ‘musang berbulu ayam pura-pura menjaga, padahal dialah pemangsa sebenar’,” katanya.

Bung berkata keputusan STAR dan SAPP yang keluar masuk gabungan sesuka hati tidak akan memperdaya rakyat, kerana masyarakat kini lebih celik politik.

“‘Apabila air pasang surut, garis pantai juga berubah.’ Lakonan politik lama ini sudah ketinggalan zaman. Rakyat kini mampu membezakan antara pejuang sebenar dengan peniaga janji,” katanya.

Tambahnya, UMNO dan BN tidak akan berkompromi dengan prinsip demi keuntungan politik atau bekerjasama dengan parti yang mengamalkan “politik bermuka dua.”

“Fokus kami jelas — membina semula Sabah dengan kestabilan, integriti dan hala tuju yang tulen,” katanya sambil menegaskan UMNO-Barisan kekal komited kepada perjuangan politik sebenar, bukannya ‘teater politik yang hidup atas penipuan dan sandiwara’,” tegas beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *