Tolak politik kebencian, jangan rendahkan martabat rakyat Sabah – Yakub Khan

SEPANGGAR: Calon Barisan Nasional (BN) DUN Karambunai, Datuk Yakub Khan tampil menyuarakan ketegasan terhadap budaya politik yang menghina dan merendahkan martabat rakyat Sabah.

Beliau menegur tindakan seorang wakil rakyat dalam sesi persidangan sebuah Dewan Negeri baru-baru yang ini menggambarkan rakyat Sabah seolah-olah mudah dipengaruhi “hanya dengan sebungkus roti Gardenia”, satu ungkapan yang menurutnya bukan sahaja tidak beretika malah memperlekehkan maruah masyarakat Sabah.

“Sebenarnya kita berkempen tawarkan diri dan menawarkan apa yang kita boleh buat dan bukannya merendahkan orang lain atau menghina orang lain seperti yang berlaku baru-baru ini,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Sabah bukanlah masyarakat yang boleh dipandang rendah malah menekankan negeri terbabit terkenal sebagai negeri yang kaya dengan budi pekerti, toleransi dan perpaduan, meskipun terdiri daripada lebih 37 etnik dengan pelbagai agama serta latar budaya.

“Buktinya kita di Sabah ini ada lebih 37 etnik, pelbagai agama dan keturunan tapi hidup dalam keadaan harmoni sehingakan Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Perdana Menteri menyebut Sabah sebagai ‘role model’ Malaysia.”

Yakub menggesa semua calon dan parti yang bertanding supaya kembali kepada asas kempen yang sihat, bukan menyerang peribadi, mencerca atau menghasut kebencian.

Beliau menegaskan bahawa politik yang menghina dan merendahkan satu-satu kaum bukan sahaja menjejaskan keharmonian, malah meracuni pemikiran rakyat.

“Berpolitiklah secara berhemah. Jangan kita rendahkan orang lain, jangan kita hina rakyat kita sendiri. Bawalah apa yang kita mampu lakukan jika diberi mandat. Itulah cara politik yang matang,”

“Saya nasihatkan kepada calon-calon yang bertanding agar bekempenlah secara berhemah, janganlah kita saling merendahkan orang atau menghina orang. Bawalah apa dasar kita, apa yang kita boleh buat kalau kita terpilih atau kalau parti kita menjadi kerajaan.

“Tunjukkan apa yang kita boleh buat, bukan dengan merendahkan orang, menghina orang dan mencaci orang. Itu bukan cara kita. Jadi nasihat saya, berpolitik dan berkempenlah secara berhemah di Negeri Sabah ini.

Jelasnya, perbezaan politik hanyalah ideologi, manakala hubungan sesama rakyat adalah ikatan yang mesti dipelihara sepanjang masa.

“Kami di Sabah tidak ada istilah musuh. Fahaman politik itu hanya idealogi tapi hubungan silaturrahim itu perlu kita jaga. Bagi saya semua jadi sahabat jadi terpulang kepada orang yang menggunakan kaedah politik tohmahan atau politik hasutan.

“Rakyat nilailah, Fikirkanlah sendiri apatah lagi ada satu parti yang boleh mengkafirkan orang, yang dia saja Islam dan orang lain tak Islam… Sabah ini pelbagai kaum dan agama.”

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada Sabtu lalu sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online

One thought on “Tolak politik kebencian, jangan rendahkan martabat rakyat Sabah – Yakub Khan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *