Tuduh BN sebab tutup kelemahan, GRS kerajaan paling gagal – Bung Moktar

TUARAN: Ketua UMNO Sabah merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menegaskan bahawa kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini sibuk menutup kelemahan sendiri kerana tidak mampu melaksanakan tanggungjawab asas terhadap rakyat.

Menurut Bung Moktar, ramai pemimpin GRS merupakan bekas pemimpin BN yang pernah memegang jawatan menteri selama bertahun-tahun, namun kini cuba melarikan diri daripada rekod kelemahan mereka.

“Mereka cuba menyalahkan pemimpin-pemimpin lain dan BN hanya untuk menutup kelemahan sendiri kerana mereka tahu mereka tidak boleh buat apa-apa.

“Kalau orang tengok pemimpin BN yang dulu siapa… semua itu dari BN. Dia oranglah menteri berpuluh-puluh tahun sampai enam kali tujuh kali …. semua ada jawatan menteri. Ketika itu saya tidak ada apa-apa jawatan, cuma ketua bahagian.

“Sebab itu saya kata mereka memang cuba melarikan diri daripada kelalaian mereka sendiri dan mereka seronok dengan keselesaan dan juga kedudukan tanpa mengira parti atau tanpa mengira kesengsaraan rakyat,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kegagalan kerajaan GRS menyelesaikan isu asas rakyat meskipun telah mentadbir selama lima tahun.

“Rakyat mahu tanya, kalau ini pun kelemahan BN seperti yang mereka dakwa, lima tahun apa yang kamu buat? Kenapa jalan raya tidak selesai, air masih bermasalah, elektrik tidak siap-siap? Ini menunjukkan mereka tidak komited menyelesaikan masalah rakyat. Sebab itu saya kata GRS kerajaan paling gagal di seluruh dunia,” tegasnya.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap calon BN N.58 Lamag bersama dalam Program Malam Anak Muda Bangkit di Pantai Dalit, malam tadi. Turut bersama dalam program ini ialah calon BN, Alfian Sambas.

Dalam pada itu, Bung Moktar berkata program berkenaan merupakan sebahagian daripada kempen PRN Sabah dengan fokus kepada pengundi muda yang kini menjadi kumpulan terbesar di banyak DUN.

“Di Pantai Dalit, daripada 26,000 pengundi, dan 17,000 adalah anak muda. Sebab itu saya minta calon BN terus membuat libat urus, ‘engagement’ dan turun padang bersama anak muda sepanjang baki sembilan hari ini,” jelasnya.

Menurut beliau, peranan pengundi muda sangat penting dan BN komited memberikan penjelasan mengenai agenda serta tawaran mereka jika kembali mentadbir.

“Inilah isu dan mesej yang kita bawa kepada pengundi di seluruh Sabah,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *