UMNO Beaufort persoal WARISAN, adakah Pan Borneo akan terkorban lagi?

BEAUFORT: Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat mempersoalkan sama ada projek Lebuhraya Pan Borneo akan sekali lagi menjadi korban politik sekiranya Parti Warisan kembali memimpin Sabah.

Beliau mengingatkan rakyat tentang insiden pada tahun 2019 apabila kerajaan Warisan di bawah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membatalkan model pelaksanaan Project Delivery Partner (PDP), menyebabkan 12 pakej projek terhenti dan kerajaan terpaksa membayar pampasan mencecah RM651 juta kepada 1,591 pemilik tanah dan struktur.

“Ini bukan angka kecil. Ia adalah contoh klasik bagaimana keputusan populis tanpa analisis kos faedah yang teliti telah melahirkan dasar berimpak tinggi dari segi kos, tetapi gagal mencapai hasil.

“Akibatnya projek terbengkalai, rakyat menderita, dan pembangunan Sabah terbuang sia-sia,” katanya dalam satu kenyataan mengenai hal ini.

Awang Aslee turut menegaskan bahawa tindakan kerajaan Warisan ketika itu telah menjerat diri sendiri apabila mekanisme pembiayaan melalui sukuk dan PDP tidak lagi boleh digunakan.

Kesannya, projek Pan Borneo terpaksa bergantung kepada peruntukan pembangunan kerajaan yang terhad, sekali gus melambatkan jadual pelaksanaan dan membebankan rakyat.

“Persoalannya sekarang, jika Warisan kembali memimpin Sabah, adakah kita sanggup melihat kerugian ratusan juta ringgit ini berulang? Rakyat berhak tahu pendirian Warisan hari ini. Jangan ulangi kesilapan 2019,” katanya.

Menurut beliau, Pan Borneo bukan ruang untuk eksperimen politik, sebaliknya simbol kesinambungan pembangunan, keadilan ekonomi serta masa depan rakyat Sabah. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *