KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Tawau menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Ketua UMNO Sabah merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, dalam usaha membawa pembaharuan serta memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 menjadi titik kebangkitan semula suara rakyat Sabah.
Ketuanya, Rushamizan Rustam berkata, barisan Pemuda UMNO Tawau akan terus menjadi barisan hadapan dalam memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi bagi memastikan mesej pembaharuan sampai ke setiap lapisan masyarakat.
“Pergerakan Pemuda UMNO Tawau menyambut baik kenyataan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berhubung hasrat menampilkan hampir 80 peratus calon muka baharu dalam PRN ke-17.
“Langkah ini membuktikan bahawa BN sentiasa berpandangan jauh dan berani melakukan pembaharuan demi memastikan parti kekal relevan serta dekat di hati rakyat.
“Pemilihan calon muda dan baru mencerminkan keazaman BN untuk mengangkat aspirasi orang muda agar suara mereka didengar dalam pentadbiran negeri,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah beliau, generasi muda kini bukan sekadar kelompok idealistik tetapi mereka memahami perubahan positif yang stabil demi masa depan negeri ini.
“Zaman ini menuntut kepimpinan yang mampu memahami denyut nadi generasi muda, generasi yang bukan sahaja idealistik, tetapi juga bersemangat membawa perubahan positif kepada negeri Sabah.
“Meskipun BN adalah parti yang berpengalaman dan berakar kukuh dalam sejarah politik tanah air, ia terus membuktikan keanjalan dengan mengetengahkan calon daripada pelbagai latar belakang dan kelompok masyarakat,” katanya lagi.
Ujarnya, ini bukti jelas melambangkan BN sebagai parti majmuk, progresif dan peka terhadap keperluan rakyat dari segenap lapisan. – UMNO Online
