KOTA KINABALU: Segala bentuk kerjasama politik antara UMNO–Barisan Nasional (BN) Sabah dengan parti lain harus ditentukan secara rasional, objektif dan strategik, bukannya terburu-buru atau dipengaruhi tekanan semasa.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, pendirian BN Sabah bukan bermakna menolak terus sebarang kerjasama, sebaliknya menunjukkan sikap berhati-hati berdasarkan pengalaman lalu, termasuk insiden semasa Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) yang memberi kesan negatif kepada BN dari segi integriti, kepercayaan dan hala tuju gabungan.
“UMNO Sabah tidak menutup pintu rundingan, namun kerjasama yang ingin dibentuk mesti mengutamakan rakyat, kestabilan negeri dan mengambil iktibar daripada sejarah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran menegaskan, isu utama dalam pembentukan gabungan bukanlah jumlah parti yang terlibat, tetapi keupayaan untuk menjamin kestabilan, integriti serta pembangunan jangka panjang Sabah.
Menurutnya, UMNO dan BN Sabah kini mengambil pendekatan lebih berprinsip dalam menghadapi tekanan politik jangka pendek.
“Kami tidak akan ulangi kesilapan lalu dan tidak akan biarkan UMNO Sabah diketepikan lagi dari suara akar umbi,” tegasnya.
Suhaimi turut menekankan bahawa sikap berhati-hati BN Sabah adalah tindakan membina, bukan bersifat konfrontasi.
