KALABAKAN :UMNO Bahagian Kalabakan terus memperkukuh usaha mendekati masyarakat melalui program Ziarah Kasih dan Ronda-Ronda Kampung yang diadakan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Keramat, kelmarin.
Program berkenaan memberi peluang kepada pimpinan bahagian untuk menziarahi penduduk di Kampung Tanjung Batu Tengah, khususnya golongan yang memerlukan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.
Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Haji Samasuddin Yusop, berkata program itu merupakan inisiatif berterusan parti dalam menyantuni rakyat serta membantu meringankan beban mereka.
“Alhamdulillah, UMNO Kalabakan dapat menyampaikan sedikit sumbangan bagi membantu keperluan keluarga di kampung ini menjelang Aidiladha.
Diharapkan bantuan kecil ini mampu meringankan kos persiapan dan menggembirakan hati mereka,” katanya.
Menurut beliau, UMNO Kalabakan sentiasa komited untuk terus bersama rakyat dalam apa jua keadaan, tidak kira waktu senang mahupun susah.
Dalam perkembangan lain, Haji Samasuddin turut meluangkan masa meninjau keadaan semasa di Kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat, yang pernah dilanda tragedi kebakaran pada tahun 2019 sehingga memusnahkan sebanyak 69 buah rumah.
“Alhamdulillah, keadaan Kampung Otentik kini semakin pulih selepas mengalami detik sukar beberapa tahun lalu.
Semangat dan ketabahan penduduk di sini amat menginsafkan serta menjadi inspirasi kepada kita semua,” tambah beliau.
Program seumpama ini mencerminkan iltizam UMNO Kalabakan untuk terus mendengar denyut nadi rakyat serta memastikan kebajikan masyarakat sentiasa diberi keutamaan. – Sabah Post
