KALABAKAN: UMNO Bahagian Kalabakan terus memperkukuh usaha mendekati rakyat dengan strategi yang lebih praktikal menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, khususnya di DUN Tanjung Batu.
Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop berkata pendekatan turun padang secara berperingkat menjadi keutamaan bagi mendengar aspirasi pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan atas pagar.
Beliau baru-baru ini berkesempatan bersama komuniti Runners yang bukan sahaja aktif dalam acara larian, tetapi turut membawa semangat disiplin dan kesihatan yang wajar dicontohi.
“Perbualan santai bersama mereka turut mengimbau kenangan universiti, lebih istimewa apabila ada dalam kalangan mereka merupakan alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) ketika saya bertugas di sana.
“Pertemuan seperti ini memberi makna besar kerana setiap komuniti mempunyai cerita, suara dan harapan mereka tersendiri,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Samasuddin berkata, usaha mendengar aspirasi rakyat akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa sebagai komitmen UMNO Kalabakan untuk memastikan masa depan rakyat di kawasan tersebut.
“Insya Allah, usaha mendengar aspirasi rakyat akan terus diperkukuh demi masa depan yang lebih sejahtera,” katanya lagi.
Dalam program lain, Samasuddin turut menyertai TEGAR71 iaitu “Teh & Sanggar (Pisang Goreng)” di Kampung Tanjung Batu Tengah. Walaupun hujan lebat berpanjangan menyebabkan beberapa rumah penduduk dibanjiri air, beliau bersama penduduk tetap meneruskan sesi ziarah.
“Melihat keluarga yang terpaksa bertahan dalam keadaan sebegini cukup menyayat hati. Namun, semangat anak muda kampung yang sanggup meredah banjir bersama saya untuk meninjau lorong-lorong dan berbincang mencari jalan penyelesaian memberi sinar harapan,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga kampung atas kesudian menerima rombongan walaupun dalam situasi getir dan menegaskan tekad UMNO Kalabakan untuk terus berjuang demi kesejahteraan rakyat setempat. – UMNO Online
