KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata parti tidak sepatutnya lagi dilihat sebagai sebuah parti berasaskan Semenanjung kerana ia telah lama berakar umbi secara tempatan di negeri ini.
Katanya, UMNO telah bertapak di Sabah selama lebih tiga dekad dan kepimpinan Umno di negeri ini kini terdiri sepenuhnya daripada anak jati Sabah.
“UMNO di Sabah bukan lagi parti Malaya. Apabila sesebuah parti telah wujud selama 34 hingga 35 tahun di negeri ini, adalah tidak tepat untuk terus melabelkannya sebagai ‘Parti Malaya’,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh The Star.
“Kini ia merupakan parti tempatan dan juga parti kebangsaan – itulah cara yang paling tepat untuk menggambarkan Umno dan Barisan Nasional di Sabah,” tambahnya.
Ahmad dilaporkan berkata demikian semasa majlis makan malam bersama pemimpin-pemimpin UMNO bahagian Lahad Datu pada malam Selasa.
Dalam pada itu beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Umno boleh merampas semula semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kawasan Parlimen Lahad Datu, seperti yang pernah dikuasainya ketika era kemuncak parti tersebut di Sabah.
