PENSIANGAN: Ketua UMNO Bahagian Pensiangan, Busiau Ampirak, menegaskan bahawa parti kini memasuki fasa penting dalam landskap politik Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan semangat yang utuh dan jentera yang bersiap siaga di semua peringkat.
Menurut beliau, kekuatan UMNO di bahagian terbabit terbina hasil kepimpinan yang bersih, kestabilan dalaman yang mantap serta kepercayaan akar umbi yang semakin kukuh.
“Di peringkat Bahagian kita berada dalam keadaan yang amat stabil, disokong oleh pengikut yang setia dan jentera parti sentiasa bersiap siaga. Tiada isu besar yang menggugat kekuatan dalaman kita dan ini membuktikan kepimpinan yang bersih, ikhlas dan konsisten masih menjadi tunjang kekuatan UMNO di kawasan ini,” katanya kepada UMNO Online.
Busiau turut mengingatkan bahawa UMNO mempunyai sejarah panjang dan hubungan yang amat rapat dengan rakyat termasuklah di DUN Nabawan dengan sumbangan parti dalam pembangunan asas, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat tidak boleh dinafikan.
“Dari jalan raya, sekolah, bekalan air dan elektrik, hinggalah kepada peluang pendidikan dan pekerjaan iaitu UMNO telah memainkan peranan besar dalam membawa kemajuan ke Nabawan. Sejarah panjang ini menjadi bukti bahawa UMNO bukan sekadar parti pilihan, tetapi rakan perjuangan rakyat,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa rakyat kini mahukan seorang pemimpin yang benar-benar berasal dari kawasan itu sendiri iaitu yang memahami budaya, adat dan denyut nadi masyarakat tempatan.
“Masyarakat menolak calon ‘payung terjun’ atau pemimpin yang muncul hanya ketika musim pilihan raya. Pemimpin tulen Nabawan ialah mereka yang hidup bersama rakyat, bekerja bersama rakyat, dan berjuang demi rakyat iaitu bukan demi agenda peribadi,” tegasnya.
Busiau menyatakan keyakinan bahawa UMNO Nabawan mempunyai barisan calon yang diterima akar umbi, berjiwa rakyat dan komited membawa suara masyarakat ke peringkat lebih tinggi.
Tambah beliau, kekuatan sebenar UMNO terletak pada kesetiaan jentera dan semangat kerja berpasukan di semua sayap iaitu Pemuda, Wanita, Puteri dan veteran.
“Komunikasi yang berterusan, pendekatan mesra rakyat dan gerak kerja yang tersusun menjadi bukti bahawa kita kini berada dalam posisi bersedia untuk menghadapi PRN dengan penuh keyakinan,” katanya.
Busiau turut menyeru seluruh ahli dan penyokong UMNO agar terus bersatu hati, memperkukuh saf perjuangan dan meletakkan agenda rakyat sebagai keutamaan utama.
“Inilah masanya untuk kita bangkit, menyatukan kekuatan dan menunjukkan bahawa UMNO masih relevan, masih kuat dan masih diperlukan rakyat. Saya berharap rakyat akan terus memberi mandat kepada parti yang telah terbukti membela nasib mereka sejak sekian lama,” katanya lagi. – UMNO Online
