KOTA KINABALU: Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak menegaskan bahawa UMNO perlu kekal menjadi wadah perjuangan rakyat termasuk di kawasan bandar, bukan semata-mata berfungsi semasa pilihan raya.
Ketika merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Kota Kinabalu semalam, beliau menyatakan bahawa walaupun UMNO tidak bertanding di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu, tanggungjawab parti untuk memperjuangkan suara rakyat tetap tidak berubah.
“UMNO bukan hanya alat politik semasa pilihan raya. Ia adalah wadah berkhidmat, menyantuni rakyat dan menjadi suara kepada masalah sebenar mereka,” katanya.
Salleh menekankan beberapa isu mendesak di kawasan bandar yang perlu diberikan perhatian serius, antaranya kos sara hidup yang semakin meningkat, cabaran memiliki rumah mampu milik bagi golongan muda dan B40, peluang pekerjaan yang tidak setara dengan kelayakan dan ruang perniagaan yang dikuasai pemain besar, menyukarkan peniaga kecil
Tambah beliau, UMNO Kota Kinabalu mesti memainkan peranan strategik walaupun tanpa kerusi, termasuk dalam membina naratif parti, mendekati belia bandar dan menyokong rakan gabungan dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.
“UMNO Baharu mesti tampil lebih progresif, inklusif dan sentiasa dekat dengan denyut nadi rakyat – bukan tunggu musim pilihan raya baru mahu turun padang,” ujar ADUN Usukan itu lagi.
Salleh turut memuji kepimpinan Hajjah Musliati sebagai Ketua Bahagian yang aktif memperkukuh parti di kawasan bandar serta konsisten melaksanakan program pendidikan politik dan khidmat masyarakat.
Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyeru agar UMNO terus melangkah ke hadapan dengan semangat perjuangan lama yang segar dan dinamik.
“UMNO Baharu, Semangat Lama – Untuk Agama, Bangsa dan Negeri.”
Kredit foto: FB Salleh Said Keruak
