PUTATAN: Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed menegaskan bahawa seluruh jentera Barisan Nasional (BN) Sabah kini berada dalam kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut beliau, persiapan rapi telah dilakukan di semua peringkat iaitu daripada kepimpinan tertinggi hingga ke akar umbi dengan semangat perpaduan dan disiplin tinggi demi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.
“Insya-Allah, pada PRN kali ini, seluruh jentera BN Sabah telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menggalas tanggungjawab besar memastikan kemenangan berpihak kepada BN.
“Semangat perjuangan dan kesatuan dalam kalangan jentera menjadi bukti bahawa BN Sabah berada dalam landasan yang kukuh dan tersusun,” katanya kepada UMNO Online.
Jeffery Nor menjelaskan, setiap strategi dan gerak kerja kempen disusun secara terancang dengan menekankan mesej perjuangan BN yang berpaksikan kepada kestabilan, pembangunan serta kebajikan rakyat.
Beliau menambah, pengalaman luas dan rekod cemerlang BN dalam mentadbir negeri sebelum ini menjadi asas keyakinan bahawa rakyat akan kembali memberi mandat kepada parti terbabit apatah lagi kerajaan yang dipertanggungjawabkan kemudiannya lebih banyak berjanji daripada melaksanakan kerja.
“Kemenangan kali ini bukan sekadar soal parti, tetapi demi masa depan rakyat yang inginkan kesejahteraan dan pembangunan serta Negeri Sabah sendiri yang perlu stabil, makmur serta terus maju di bawah panji BN.”
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO/BN Sabah sentiasa menekankan nilai disiplin serta mesej yang jelas dalam setiap tindakan dan komunikasi politik iaitu sentiasa bersama rakyat.
Katanya, semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan jentera BN di seluruh Sabah membuktikan bahawa parti itu bukan sahaja bersedia dari segi logistik dan strategi, tetapi juga dari segi semangat perjuangan untuk terus membela nasib rakyat negeri ini.
“Inilah masa untuk kita tunjukkan kekuatan sebenar BN Sabah iaitu kekuatan yang lahir daripada kesetiaan, pengalaman dan keazaman untuk memulihkan semula kepercayaan rakyat,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau juga menyeru semua jentera agar terus fokus dan bekerja dengan penuh keikhlasan bagi memastikan mesej BN sampai ke setiap lapisan masyarakat menjelang tarikh PRN yang akan ditetapkan dalam masa terdekat.
“Kita menyeru seluruh rakyat Sabah untuk bersama-sama menyokong BN, kerana hanya melalui gabungan yang berpengalaman dan berprinsip ini, negeri kita akan terus terbela dan maju ke hadapan.
“BN Sabah sentiasa komited memperjuangkan hak rakyat, membangunkan ekonomi negeri, serta memastikan kestabilan politik yang membawa kesejahteraan kepada semua lapisan masyarakat.
“Marilah kita kekalkan kesetiaan dan semangat perpaduan di bawah panji BN, agar masa depan Sabah terus terjamin dan diwarisi generasi akan datang dengan penuh kebanggaan,” katanya lagi.
Pada 6 Oktober lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN ke-17. DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas pada Khamis ini bagi membincangkan beberapa tarikh penting dan perkara lain berkaitan dengan PRN berkenaan. – UMNO Online
