UMNO Sabah kekal dengan prinsip, tolak kerjasama bersama GRS

KOTA KINABALU: Setiausaha UMNO Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Jafry Ariffin menegaskan bahawa keputusan UMNO Sabah untuk tidak bergabung dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah muktamad.

Menurut beliau, keputusan itu bukan semata-mata soal strategi politik, sebaliknya melibatkan soal maruah dan prinsip perjuangan yang telah lama menjadi asas kekuatan UMNO.

“Selama ini, UMNO tidak pernah bergantung kepada sesiapa untuk teguh berdiri. Kekuatan sebenar parti ini adalah anda semua iaitu akar umbi yang menjadi nadi perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Jafry menyeru seluruh ahli parti untuk merapatkan saf, mengukuhkan ukhuwah dan kembali kepada roh asal perjuangan UMNO yang ikhlas berkhidmat demi rakyat.

“Jangan kita gentar dengan jalan yang berliku, kerana setiap cabaran bukanlah beban tetapi peluang untuk kita bangkit dengan lebih gagah,” jelasnya.

Beliau menegaskan, UMNO pernah melalui pelbagai ujian getir termasuk berdepan badai besar dan cubaan untuk ditumbangkan, namun parti keramat itu tetap teguh berdiri kerana kekuatan akar umbi yang tidak pernah berganjak walau setapak.

“Andalah tulang belakang, andalah nyawa UMNO, andalah penentu masa depan parti ini,” ujarnya kepada ahli-ahli UMNO Sabah yang dianggap satu keluarga besar.

Jafry juga mengingatkan bahawa keputusan tidak bergabung dengan GRS perlu dijadikan pembakar semangat dan bukannya penghalang dalam memperkukuhkan tekad perjuangan.

“Selagi hayat dikandung badan, UMNO akan terus membela rakyat, terus menjadi payung untuk bangsa, agama, dan tanah air tercinta,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *