KOTA KINABALU: UMNO Sabah perlu kembali mengukuhkan kedudukan dengan mendekati rakyat serta mengambil iktibar daripada kesilapan lampau, selain menyesuaikan diri dengan kehendak semasa, khususnya melibatkan generasi muda dan transformasi digital.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata demikian sambil memetik ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena ulang tahun ke-79 parti itu pada Ahad (11 Mei).
“Keutuhan kita bukan terletak pada retorik politik, sebaliknya pada pencapaian nyata yang telah direkodkan. Di Sabah, UMNO memainkan peranan penting dalam penubuhan universiti tempatan pertama iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), serta membina sekolah, klinik, jalan raya dan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan di seluruh negeri,” katanya.
Menurut Bung Moktar, Zahid dalam ucapan tersebut menggariskan tiga halatuju utama untuk memacu UMNO Sabah menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) akan datang.
Pertama, katanya, UMNO perlu kembali kepada rakyat. “Kita tidak boleh lagi bergantung pada janji semata-mata. Pemimpin mesti turun padang, dengar keluhan rakyat, dan tampil dengan penyelesaian sebenar. Populariti tanpa keikhlasan dan usaha keras adalah sia-sia.”
Kedua, katanya, kesilapan lalu tidak boleh diulangi. “Kekalahan kita bukan kerana kekuatan lawan, tetapi kerana kelemahan dalaman kita sendiri. Di Sabah, perpaduan adalah kunci. Perbezaan pendapat tidak seharusnya memecah-belahkan kita. Lawan kita adalah musuh politik, bukan sesama sendiri.”
Ketiga, UMNO perlu menjadi parti yang berorientasikan masa depan, bukan terus terperangkap dalam nostalgia. “Dalam era digital ini, kita perlu berinovasi dan memperkasakan generasi muda di Sabah. Mereka adalah penyambung perjuangan kita.”
Tambah Bung Moktar, mesej Zahid itu bukan hanya sekadar mengimbas sumbangan lalu parti, tetapi satu seruan untuk UMNO Sabah bangkit menghadapi landskap politik negara yang sedang berubah.
Beliau turut menyeru seluruh kepimpinan, jentera dan ahli UMNO di Sabah agar bersatu, bangkit dan berjuang untuk menjadikan PRN-17 sebagai pentas kebangkitan semula parti.
“Kita tidak akan membiarkan pihak yang tidak pernah berkhidmat menuai hasil daripada apa yang tidak mereka semai. Kita ada legasi untuk dipertahankan dan masa depan untuk dibentuk,” tegasnya.
Sumber: The Star
