UMNO Sabah tangguh program Gelombang Biru, fokus bantu mangsa bencana

KOTA KINABALU: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan pembatalan sementara program Gelombang Biru yang dijadualkan berlangsung pada 21 September 2025, susulan tragedi tanah runtuh dan banjir yang menimpa negeri ini.

Program tersebut akan ditentukan semula pada tarikh lain.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, keputusan itu dibuat atas dasar perikemanusiaan, mengambil kira situasi getir yang sedang dihadapi rakyat.

“Kita tidak mungkin meraikan perhimpunan politik ketika rakyat meratap kehilangan orang tersayang akibat tanah runtuh, dan ribuan lagi sedang bergelut dengan banjir di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban, sambil menegaskan bahawa penderitaan mereka adalah kesedihan bersama seluruh rakyat Sabah.

“Dalam saat ini, kita tidak melihat mereka sebagai pengundi atau penyokong parti, tetapi sebagai saudara dan keluarga kita sendiri,” tambahnya.

Suhaimi menegaskan, semua jentera BN Sabah kini digerakkan ke lapangan bagi menyalurkan bantuan segera, selain memberikan sokongan moral dan doa kepada mangsa.

“Politik boleh menunggu. Tetapi ketika ada anak kecil tidur di pusat pemindahan, ada ibu kehilangan tempat berteduh, ada keluarga menangisi jasad yang baru dikebumikan – di situlah tenaga kita mesti digerakkan,” jelasnya.

Menurut beliau, program Gelombang Biru akan diteruskan pada masa yang sesuai, namun buat sementara ini UMNO Sabah mahu memberi tumpuan penuh terhadap usaha membantu rakyat.

“Hari ini biarlah kita bersama-sama mencipta ‘Gelombang Kemanusiaan’ – satu gelombang kasih sayang, solidariti dan pengorbanan untuk rakyat Sabah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *