Umno Sipitang umum tidak bantu calon PKR, tutup semua bilik gerakan

KOTA KINABALU: Umno Bahagian Sipitang menyatakan pendirian untuk tidak memberi sebarang kerjasama kepada PKR atau Pakatan Harapan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Ketuanya, Abd Rahman Mohd Noh berkata keputusan itu dibuat kerana Barisan Nasional (BN) tidak diberi peluang meletakkan calon di kerusi berkenaan.

Selain itu ia juga selaras dengan Perkara 20.11 dan 20.13 Perlembagaan Umno yang tidak membenarkan untuk membantu calon yang pernah khianat dan dipecat daripada parti.

“Umno Sipitang rasa dukacita selepas BN tidak diberikan ruang untuk meletakkan calon di DUN Sindumin.

“Sehubungan itu, Umno Bahagian Sipitang tidak akan memberi sebarang kerjasama kepada parti PKR dan Pakatan Harapan (PH) di DUN Sindumin,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu juga, tambah beliau, seluruh bilik gerakan di 17 pusat daerah mengundi bagi kawasan DUN Sindumin ditutup serta-merta dan jentera BN dikawasan itu juga tidak dibenarkan sama sekali digunakan oleh mana-mana parti lain bagi tujuan kempen atau aktiviti politik.

“Keputusan ini dibuat bagi memastikan perjuangan dan maruah Umno di kawasan Sipitang terus dipertahankan, selaras dengan semangat solidariti parti,” katanya.

PKR Sabah sebelum ini menamakan Datuk Yamani Hafez Musa sebagai calonnya untuk bertanding di DUN Sindumin yang kini disandang Warisan.

Yamani yang juga anak lelaki Yang Dipertua Negeri Sabah, Musa Aman memenangi kerusi Parlimen Sipitang atas tiket BN pada PRU 2018.

Beliau kemudiannya menyertai Bersatu dan tidak mempertahankan kerusi itu pada PRU 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *