UMNO tidak mahu terheret polemik kenyataan politik

TAWAU: UMNO menegaskan pendirian untuk tidak terheret dalam sebarang kenyataan bersifat spekulatif berhubung isu gabungan politik di Sabah.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya memilih untuk tidak melayan sebarang kenyataan bersifat begitu dan sebaliknya fokus usaha memastikan kestabilan politik negeri terus dipelihara.

Katanya, ia termasuk kenyataan yang dibuat oleh mana-mana pihak mengenai kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) tanpa penglibatan BN.

“Keutamaan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara, bukannya terjebak dalam polemik kenyataan balas yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Kita tidak akan membuat sebarang kenyataan-kenyataan yang berbentuk begitu kerana yang paling mustahaknya ialah Barisan Nasional dan seperti yang telah diumumkan sebelum ini, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan akan bersama,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia berkata demikian ketika ditemui media sempena Majlis Ramah Mesra Pimpinan Zon 6 UMNO Sabah, di sini kelmarin.

Menurutnya, walaupun tidak menolak kemungkinan kerjasama politik diperluas kepada pihak lain, ia tetap perlu berasaskan kepada persefahaman bersama dan dibincangkan secara rasmi, bukannya dibuat menerusi kenyataan individu.

“Tidak bermakna bahawa kita tidak membuka ruang-ruang yang lain untuk kerjasama. Asas kepada kerjasama ini adalah berteraskan kepada persefahaman bersama.

“Jadi, untuk peringkat ini, kita tidak mahu terheret dengan pelbagai kenyataan yang dibuat oleh mana-mana pihak,” katanya.

Dr. Zambry berkata, UMNO dan BN akan mengambil pendekatan yang lebih berhemah dalam membuat sebarang keputusan berhubung kerjasama politik.

Katanya, ia selaras dengan matlamat untuk memastikan politik di Sabah kekal stabil dan berfungsi demi kepentingan rakyat.

“Saya tidak mahu mengambil pendekatan reaksi spontan, orang ini kata itu, saya balas itu. Itu bukan cara Barisan Nasional.

“Yang penting ialah kita membuat keputusan yang tuntas, mantap, dan berpaksikan kepada kestabilan negeri,” katanya.

Terdahulu, sebelum ini Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun memberi bayangan kemungkinan akan bekerjasama dengan PH pada PRN Sabah tanpa penglibatan BN. –  Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *