UMS sedia selesaikan masalah air babitkan 1,200 penduduk Kg. Kaniogan

BELURAN : Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersedia membantu 1,200 penduduk di Pulau Kaniogan, Beluran mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan seharian mereka.

Pasukan Makmal Hidup Rural Water Supply (RuWaS) Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UMS, Profesor Kehormat Dr. Kawi Bidin berkata,  pasukan penyelidik membuat cerapan potensi air bawah tanah, termasuk kualiti air, serta potensi sistem rawatan dari sumber air sedia ada di pulau berkenaan.

Ujian kualiti air dijalankan oleh penyelidik RuWaS UMS bagi menilai potensi sumber air tempatan di Pulau Kaniogan.

Katanya, setakat ini beberapa sampel air turut dikumpul untuk dibawa ke makmal bagi ujian peringkat seterusnya.

“Isu ini bukan sahaja melibatkan keperluan asas penduduk, malah memerlukan usaha kolektif dan komitmen jangka panjang demi kesejahteraan komuniti kampung ini.

“Kita percaya bahawa dengan sokongan yang padu, kita mampu merealisasikan satu penyelesaian yang berimpak dan lestari,” katanya.

Pasukan penyelidik RuWaS UMS menjalankan cerapan sumber air bawah tanah.

Dr. Kawi berkata, penglibatan ramai pihak termasuk penyaluran dana serta bantuan lain dijangka dapat membangunkan sistem ini sekali gus mampu menyelesaikan masalah air di kampung terbabit.

“Kita mempunyai pengalaman serta teknologi yang bersesuaian untuk diaplikasikan di kawasan luar bandar.

“Apa yang diperlukan hanyalah kerjasama serta sokongan kewangan untuk melaksanakannya secara berkesan,” jelas Dr. Kawi.

Sementara itu, Ketua Kampung Kaniogan, Azmi Madlis berkata, penduduk terpaksa mendapatkan bekalan air bersih dari pekan Beluran,menyebabkan kos sara hidup mereka turut meningkat.

“Lebih membimbangkan, untuk mendapatkan bekalan air itu hanya boleh diakses oleh penduduk dengan menggunakan pengangkutan air sahaja,” katanya. – SNT

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *