KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bersiap siaga menjadi pemain pasukan rakyat Sabah.
Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick berkata, tahun ini merupakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi penggal ini.
“UPKO sebagai komponen PH Sabah sudah tentu akan mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini dengan wawasan untuk menang kerusi tambahan selain mempertahankan kerusi di Kadamaian.
“Sementara perundingan dalaman PH Sabah dan perbincangan tidak rasmi dengan gabungan lain terus berlangsung, UPKO mesti bersiap siaga menjadi pemain pasukan rakyat Sabah.
“Keputusan kita mesti berlandaskan kepada tujuan dan matlamat penubuhan parti, berpandukan kepada akal budi dan rasional yang strategik dengan memberi fokus kepada masa depan Sabah dan rakyatnya,” katanya pada Makan Malam Ulang Tahun UPKO Ke-31 di sini, kelmarin.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, Sabah sudah 62 tahun menganggotai Persekutuan Malaysia.
Katanya, tempoh itu cukup lama untuk menginsafi kemajuan infrastruktur, kemajuan ekonomi, kemajuan tadbir urus, kemajuan kerjasama serta kemajuan kualiti di Sabah.
“PRN ini bukan persaingan tentang siapa yang boleh berteriak dengan lebih kuat, bukan persaingan emosi yang sensasi, bukan persaingan kelemahan siapa yang paling banyak.
“PRN ini harus menjadi pengukur kepada perpaduan rakyat Sabah, perpaduan pimpinan parti-parti politik yang ada di Sabah.
“Dalam pertembungan hubungan perdagangan antarabangsa dan geopolitik, rakyat Sabah mesti bijak menilai kepentingan perpaduan.
“Sebab itu UPKO, sepertimana dalam matlamat penubuhan Parti kita, harus bekerjasama dengan parti-parti yang berkongsi wawasan dan aspirasi yang sama, tidak hanya dengan parti-parti Sabah tetapi juga dengan parti-parti nasional,” katanya.
Menurutnya, dalam perundingan-perundingan yang akan akan berlangsung kelak, UPKO akan menyatakan pandangan dan pendirian serta menjadi advokasi kepada perpaduan.
Katanya, pada 1963, Sabah memutuskan untuk menganggotai Persekutuan Malaysia, maka mari bersama-sama perbaiki dan bina negara ini bersama-sama.
“Perwakilan pimpinan Sabah mesti terus menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan sepertimana aspirasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Untuk kita perbaiki dan bina negara ini, kita juga harus perbaiki dan bina terlebih dahulu sense of belonging rakyat Sabah terhadap Kerajaan Sabah sendiri.
“Perkara-perkara yang menjadi keprihatinan terkait ‘sense of belonging’ rakyat majmuk Sabah seperti komposisi dalam perjawatan perkhidmatan awam negeri, perlantikan di agensi-agensi dan badan-badan berkanun, pemberian biasiswa, kualiti jentera penyampaian Kerajaan Sabah, hubungan antara agama, perundangan-perundangan negeri mesti diperkasa dan diperkemaskan terlebih dahulu,” katanya.
Ewon berkata, semua itu memerlukan kesatuan dan perpaduan politik semua parti yang ada di Sabah.
Menurutnya, pendekatan konfrontasi tidak akan menguntungkan Sabah dan tidak akan membantu masa depan negeri ini.
“Yang penting bagaimana perpaduan besar politik Sabah itu menjadi aset untuk berunding perkara-perkara besar yang diperlukan oleh rakyat Sabah sama ada yang tercakup dalam MA63 atau yang perlu dimasukkan dalam Rancangan Pembangunan Malaysia,” katanya. – Utusan Borneo
