UPKO keluar PH, berkuatkuasa serta-merta

KOTA KINABALU Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH), berkuat kuasa serta-merta, selepas Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi parti itu diadakan bagi membincangkan agenda ‘Sabah First’.

Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W Angang, berkata keputusan tersebut akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH serta parti-parti komponennya.

Mesyuarat berkenaan turut menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Ewon — yang juga Presiden UPKO — meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Ewon berundur kerana tidak sehaluan dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam prosiding semakan kehakiman berhubung hak hasil 40 peratus Sabah yang difailkan oleh Sabah Law Society.

Nelson menjelaskan bahawa sepanjang empat tahun berada dalam PH, UPKO secara konsisten membawa agenda ‘Sabah First’ dalam rundingan manifesto pilihan raya serta perbincangan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, katanya, wujud jurang pendirian antara UPKO dan parti komponen PH di peringkat nasional mengenai tuntutan pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, serta kegagalan melaksanakan autonomi pentadbiran PH Sabah.

Beliau turut mendakwa isu kepengerusian PH Sabah yang sepatutnya disandang UPKO tidak pernah diselesaikan Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada PKR Sabah, meskipun pemilihan dibuat mengikut proses rasmi.

Katanya, Presiden UPKO hanya dilantik sebagai koordinator, sementara keputusan berkaitan persiapan pilihan raya tetap ditentukan oleh PKR tanpa memberi autonomi sebenar kepada PH Sabah.

Jelas Nelson, UPKO menilai semula hala tuju perjuangan parti dan merumuskan bahawa parti-parti tempatan Sabah lebih memahami aspirasi negeri berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta hak perlembagaan, terutama berkaitan hak hasil 40 peratus. UPKO juga menegaskan bahawa hak tersebut adalah isu yang berbeza daripada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan.

Beliau berkata walau bagaimanapun dua Ahli Parlimen UPKO, Datuk Ewon Benedick dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya kestabilan Kerajaan Persekutuan dikekalkan sehingga tamat penggal.

UPKO kini bersedia bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah yang berkongsi agenda ‘Sabah First’ demi memastikan pelaksanaan sebenar MA63 dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan.

Nelson menambah, hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah perlu diperkukuh, namun mesti berlandaskan semangat dan pelaksanaan sebenar MA63.

 

Kredit foto: FB Ewon Benedick Official Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *