Oleh: Musli Oli
UPKO kini berada pada satu kedudukan unik dalam landskap politik Kadazan-Dusun Murut Rungus (KDMR) di Sabah, dengan perkembangan mutakhir menunjukkan parti itu berpotensi besar untuk muncul sebagai kuasa politik baharu yang lebih dominan. Perkembangan ini didorong oleh beberapa faktor penting, khususnya kepimpinan semasa, dinamika parti-parti KDMR lain, serta perubahan sentimen pengundi yang semakin menuntut ketegasan perjuangan mendapatkan hak negeri.
Salah satu faktor utama yang melonjakkan imej UPKO ialah ketegasan Presidennya, Datuk Ewon Benedick, dalam isu tuntutan semula 40 peratus hasil Sabah. Pendiriannya yang terbuka, termasuk kesediaan meletakkan jawatan kabinet, mencerminkan komitmen mendalam terhadap perjuangan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963. Langkah itu membuka mata ramai pengundi KDMR bahawa UPKO kini dipimpin oleh tokoh yang bukan sahaja lantang, tetapi juga bersedia mengorbankan kedudukan demi prinsip. Di mata masyarakat, Ewon muncul sebagai simbol keberanian baharu yang memberikan nyawa segar kepada parti yang dipimpinnya.
Pada masa yang sama, PBS yang merupakan parti KDMR tertua dan pernah menjadi tiang utama politik etnik itu menunjukkan tanda-tanda kemerosotan pengaruh. Pengundi melihat PBS terlalu akur kepada kehendak gabungan GRS, manakala GRS sendiri dianggap terlalu berhati-hati dalam mendesak Putrajaya mengenai isu hak negeri.
Dalam konteks pengundi KDMR yang semakin mengutamakan autonomi politik, pendekatan berhati-hati ini menyebabkan PBS kehilangan kelebihan tradisionalnya sebagai parti perjuangan masyarakat KDMR. Kesan langsungnya ialah UPKO, yang bersifat lebih tegas, mula menjadi tumpuan baharu.
Turut memberi kesan besar kepada blok politik KDMR ialah terlerainya perjanjian persefahaman antara PBS dan STAR yang ditandatangani pada April 2024. Persefahaman itu pernah memberi ‘mimpi manis’ kepada masyarakat KDMR buat seketika kerana ia dilihat sebagai usaha mewujudkan perpaduan politik KDMR yang lebih kukuh.
Namun tindakan STAR meninggalkan GRS menjadikan MoU tersebut tergantung tanpa tali. Ia bukan sahaja melemahkan kedua-dua parti, malah membuka ruang kosong dalam kepimpinan politik KDMR yang kini sedang dipenuhi oleh UPKO. Keadaan ini diperkuat lagi dengan pergolakan dalaman STAR sendiri. Selepas keluar daripada GRS, parti itu kehilangan beberapa pemimpin kanan menyebabkan ia kini bergantung penuh kepada presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Di sisi lain, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (Parti KDM) yang pimpinannya dipangku oleh anak gadis Datuk Peter Anthony hadir dengan potensi tersendiri. Sokongan generasi muda dan imej parti yang segar memberi indikator positif untuk jangka panjang. Walau bagaimanapun, sebagai parti yang masih baharu, ia belum mempunyai rangka organisasi dan jaringan politik yang cukup kukuh untuk menjadi tulang belakang blok KDMR dalam masa terdekat.
Ini memberikan kelebihan kepada UPKO yang sudah melalui proses pematangan parti serta mempunyai barisan pemimpin berpengalaman.
Keutamaan UPKO dalam memperjuangkan isu 40 peratus hasil negeri turut memperkukuh kedudukannya sebagai pemilik naratif utama dalam perjuangan hak Sabah. Pendekatan tegas UPKO menyebabkan parti-parti lain, termasuk parti besar yang pernah berpengaruh, kelihatan kurang konsisten. UPKO juga mempunyai kesinambungan kepimpinan berprinsip melalui tokoh seperti bekas presiden, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, yang selama ini dikenali lantang dalam isu autonomi Sabah. Ini memberikan imej bahawa UPKO bukan parti yang berubah mengikut musim, tetapi mempunyai rekod konsisten dalam mempertahankan hak negeri.
Dalam konteks kerjasama politik masa hadapan, UPKO mempunyai potensi besar untuk menerajui blok politik KDMR sekiranya berjaya membentuk gabungan baharu bersama STAR, Parti KDM dan parti-parti tempatan lain berasaskan KDMR. Walaupun hanya bertanding 25 kerusi pada PRN17 ini, namun potensinya untuk menang lebih banyak kerusi berbanding parti-parti KDMR lain agak cerah.
Selain daripada itu kelebihan UPKO terletak pada kestabilan organisasinya, kepimpinan pelbagai lapisan, serta imej parti yang semakin diterima sebagai sederhana tetapi tegas. Sekiranya satu bentuk kerjasama politik dapat diwujudkan, UPKO berada dalam kedudukan terbaik untuk menjadi peneraju utama, memandangkan parti-parti lain sedang berdepan cabaran kepimpinan dan struktur.
Penjenamaan semula parti yang menampilkan lebih ramai tokoh muda dan profesional turut memikat segmen pengundi yang mahukan parti yang progresif tetapi tetap berakar pada identiti tempatan.
Kesimpulannya, UPKO memiliki peluang yang sangat besar untuk muncul sebagai kuasa politik baharu masyarakat KDMR di Sabah. Keberanian pimpinan, konsistensi perjuangan, kemampuan membaca perubahan sentimen pengundi serta ruang kekosongan yang ditinggalkan oleh parti-parti KDMR lain meletakkan UPKO dalam kedudukan strategik untuk menjadi parti dominan.
