LAHAD DATU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) memperkasa agenda dakwah di negeri ini menerusi pelaksanaan program strategik selama tiga bulan bermula Maal Hijrah hingga Maulidur Rasul, selari dengan matlamat Pelan Strategik USIA 2.0.
Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Haji Ahmad berkata, kempen berkenaan akan dilancarkan secara rasmi pada 5 Julai ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), dan dijangka disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Katanya, inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.
“Pelaksanaan program ini memberi penekanan terhadap pengukuhan jati diri dan pemikiran umat Islam, khususnya generasi muda yang menjadi pewaris kepimpinan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Wacana Pemikir: Menyingkap Pola Fikir Nabi Ibrahim A.S, Nabi Ismail A.S dan Siti Hajar Dalam Konteks Pengorbanan, di sini kelmarin.
Program anjuran bersama USIA dan Jawatankuasa Badan Dakwah Daerah Lahad Datu itu menjadi antara pengisian awal dalam kempen Bulan Dakwah USIA.
Mengulas lanjut, Sapawi berkata kisah pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim A.S menjadi contoh teladan dalam membina kekuatan jiwa dan keutuhan sahsiah umat Islam hari ini.
“Alhamdulillah, kita memulakan gerak kerja dakwah ini dengan wacana yang menyentuh aspek pengorbanan sebagai satu nilai penting yang perlu diterapkan dalam kehidupan masyarakat,” katanya.
Menariknya, program kali ini turut mengetengahkan pendekatan dakwah kreatif menerusi sesi khas bertajuk Bardisya, yang mengangkat pemikiran seni Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan akan dihuraikan oleh Timbalan Mufti Negeri Pahang.
Antara program lain yang bakal dianjurkan termasuk Konvensyen Dakwah dan NGO, Asian Youth Leadership Summit, Kembara Maulidur Rasul serta Program Tahsin Ibadah.
Turut dirancang ialah program dakwah rentas zon ke seluruh Sabah dan Sarawak yang dijangka disertai pemimpin tertinggi negeri termasuk Yang di-Pertua Negeri Sabah, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah.
Sementara itu, Ketua USIA Bahagian Lahad Datu, Datu Mazlan Datu Ibrahim, menyifatkan pemilihan daerah ini sebagai lokasi pertama Wacana Pemikir 2025 sebagai satu penghargaan besar kepada masyarakat setempat.
Beliau berharap usaha itu dapat menyemarakkan nilai pengorbanan serta memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap ajaran agama secara menyeluruh.
Program wacana turut menampilkan dua tokoh ilmuan berwibawa iaitu Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Ketua SALWA WADAH Sabah, Prof Dr Hajah Araiah Bahron.
Kempen tiga bulan ini dilihat selari dengan aspirasi USIA untuk menjadikan dakwah sebagai medium pembangunan ummah yang bersifat kreatif, strategik dan inklusif. – Utusan Borneo
