Warisan bidas PKR Sabah: “Kami antara yang terawal bantu mangsa banjir”

KOTA KINABALU: Jentera parti Warisan merupakan antara yang pertama bertindak balas terhadap banjir di negeri ini dengan membantu mangsa yang dipindahkan, kata Datuk Loretto Padua Jr.

Menurut Setiausaha Agung Warisan itu, presiden parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri turun pada memantau keadaan di Penampang dan Papar.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi balas terhadap kenyataan PKR Sabah yang mendakwa WARISAN menganjurkan acara politik ketika banjir melanda pelbagai kawasan di negeri ini.

Loretto berkata, ahli-ahli Warisan telah bertindak sebagai barisan hadapan sejak banjir tahun 2018 lagi, dengan turun membantu mangsa tanpa perlu diarahkan oleh kepimpinan parti.

“Ini sangat berbeza dengan cabang-cabang PKR Sabah yang tidak terlatih sebagai barisan hadapan walaupun membentuk kerajaan negeri bersama Gabungan Rakyat Sabah.

“Jika cabang-cabang PKR Sabah sudah bersiap sedia untuk situasi ini, maka kepimpinan pusat PKR tidak perlu mengeluarkan memo mengarahkan ketua-ketua cabang turun padang membantu mangsa banjir,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik FMT, semalam.

Beliau berkata, jentera PKR Sabah hanya digerakkan selepas 48 jam banjir bermula, dan menambah bahawa ia sudah terlalu lewat.

Beliau juga berkata, PKR Sabah tidak dapat mengelak daripada hakikat bahawa mereka secara kolektif telah gagal menyelesaikan masalah banjir di negeri ini sebagai sebahagian daripada pentadbiran negeri.

Terdahulu, PKR Sabah dilaporkan berkata Warisan lebih mengutamakan agenda politik berbanding kebajikan rakyat kerana menganjurkan acara politik meskipun banjir berlaku. Ini berbeza dengan jentera kerajaan Persekutuan dan negeri sejak seminggu lalu telah memberi tumpuan kepada usaha membantu mangsa banjir dan tanah runtuh.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *